SUKMA 2026: Skuad renang Selangor raih empat pingat emas

Foto RTM

SHAH ALAM, 19 Ogos – Skuad renang Selangor mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih empat pingat emas pada SUKMA Selangor 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eliza Tan, Daniel Scott Williams, Shannon Tan dan Goh Li Hen menang acara renang utama dengan catatan prestasi peribadi yang cemerlang.
  • Jurulatih Mark Chua puji persiapan rapi, komitmen tinggi atlet, dan kejayaan melebihi sasaran awal satu atau dua pingat.
  • Selain itu, Selangor juga meraih satu perak, tiga gangsa, dan penyampaian pingat oleh Tengku Amir Shah.

Emas pertama disumbangkan Eliza Tan Ai Shen menerusi acara 200 meter gaya bebas wanita dengan catatan 2 minit 5.26 saat.

Daniel Scott Williams kemudian menambah emas dalam acara 50 meter gaya kuak lentang lelaki dengan masa 26.81 saat.

Dua lagi emas hadir menerusi Shannon Tan dalam acara 400 meter rampaian perseorangan wanita dengan masa 4 minit 58.50 saat.

Manakala Goh Li Hen menjuarai acara 400 meter rampaian perseorangan lelaki dengan catatan 4 minit 35.40 saat.

“Saya berasa sangat gembira kerana berjaya mencatat rekod peribadi selepas dua tahun. Kali terakhir saya berenang dengan catatan terpantas adalah pada musim panas.

“Walaupun sudah lama berlatih dengan bersunguh-sungguh sebelum ini, masih belum berjaya memperbaharui catatan ini. Jadi, pencapaian ini sangat istimewa buat saya,” kata Goh Li Hen.

Sementara itu, Jurulatih Renang SUKMA Selangor, Mark Chua Yu Foong berkata kejayaan itu hasil persiapan rapi yang dilakukan sebelum temasya, selain prestasi perenang yang berada pada tahap terbaik.

“Memang sangat berpuas hati dengan prestasi perenang. Mereka betul-betul memberikan yang terbaik, berjaya mencatat banyak rekod peribadi dan meraih pingat, malah nasib baik pingat yang dimenangi adalah emas.

“Sejujurnya, kami tidak menjangkakan pencapaian sebanyak ini. Sasaran awal kami hanya satu atau dua pingat tetapi atlet-atlet memang memberikan komitmen yang tinggi. Jadi, kami sangat gembira dengan pencapaian mereka,” ujar Yu Foong .

Kejayaan empat emas itu sekali gus mengukuhkan peranan skuad renang sebagai antara penyumbang utama kutipan emas kontinjen Selangor pada SUKMA Selangor 2026.

Selain empat emas, Selangor turut mengutip satu perak menerusi Cayden Gooi dalam acara 100 meter gaya kuak dada lelaki, serta tiga gangsa menerusi Goh Li Jie, Oswald Lim dan Yoong Jia Jia.

Sementara itu, Wilayah Persekutuan turut mengutip empat emas menerusi Muhammad Dhuha Zulfikry, Isabelle Chiyi Buckley, Cham Yu Xiang dan Chong Xin Lin.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan pingat kepada para pemenang acara renang di Pusat Akuatik Selangor di sini pada Rabu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.