
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kertas siasatan berhubung insiden kemalangan maut membabitkan lori ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang merempuh empat pejalan kaki di Jalan Sultan Ismail akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (AGC), esok.
- Pendakwaan meneliti kertas siasatan dan mencadangkan ia dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam.
- Kedua-dua pemandu lori dan kereta direman sehari; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Tiga beranak maut di lokasi kejadian; isteri mangsa cedera dan sedang dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan meneliti kertas siasatan berkenaan hasil perbincangan pada pukul 2.45 petang tadi.
“Hasil penelitian, pihak pendakwaan mencadangkan supaya kertas siasatan dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara Putrajaya.
“Kertas siasatan itu akan dibawa sendiri oleh Pengarah Pendakwaan Negeri bersama pegawai penyiasat pada pukul 8 pagi esok bagi tujuan sebarang pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua pemandu lori JIM dan kereta Proton Saga yang terlibat telah dibenarkan untuk direman selama satu hari, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Terdahulu, tiga beranak maut selepas sebuah lori JIM dipercayai melanggar lampu merah merempuh sebuah kereta dan kemudiannya terbabas melanggar mangsa yang sedang berjalan kaki di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu mengorbankan seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun di lokasi kejadian.
Sementara itu, isteri mangsa berusia 55 tahun mengalami kecederaan di kepala, tangan serta kedua-dua kaki, dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).