Tragedi lori JIM: Belum reda kesedihan kehilangan adik, waris diuji lagi

Mohd Nadzri Razali, 69, menunjukkan gambar adiknya, Norhayati, 55, bersama suami dan dua anak Norhayati yang meninggal dunia dalam tragedi lori JIM awal pagi tadi/ RTM

KAMPAR, 19 Ogos- Belum reda kesedihan kehilangan adiknya tiga bulan lalu, Mohd Nadzri Razali, 69, sekali lagi diuji apabila adik iparnya bersama dua anak saudara maut dalam tragedi membabitkan lori Jabatan Imigresen (JIM) di ibu negara, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tragedi melibatkan lori Jabatan Imigresen merempuh kenderaan, menyebabkan seorang bapa dan dua anak perempuannya maut.
  • Isteri mangsa, Norhayati, cedera dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur, dilaporkan stabil.
  • Ketiga-tiga jenazah disolatkan selepas maghrib dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Air Hitam, Labu, Kampar.
  • Lori JIM dipercayai terbabas selepas memasuki persimpangan ketika lampu isyarat merah dengan beacon dan siren diaktifkan, kereta lain tidak sempat mengelak.

Tiga mangsa ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlim Shaik Mohd Firdaus, 25, dan Siti Darwisyah Auni Shaik Mohd Firdaus, 12.

Mohd Nadzri berkata adiknya, Norhayati Razali, 55, yang merupakan isteri kepada Shaik Mohd Firdaus, turut terlibat dalam tragedi itu dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL)

“Saya sedih sebab baru tiga bulan adik saya meninggal. Adik saya meninggal pada 30 Mei, hari ini sudah 19 Ogos, dua anak saudara bersama bapanya pula meninggal.

“Saya rasa sangat sedih. Baru tiga bulan, kubur pun masih merah lagi,” katanya.

Norhayati kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di ICU HKL.

Ketiga-tiga jenazah akan disolatkan selepas solat maghrib sebelum dibawa ke Kampar, Perak untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baru Air Hitam, Labu di sini.

Media sebelum ini melaporkan tiga pejalan kaki yang merupakan satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori JIM di Jalan Sultan Ismail pada kira-kira 1.00 pagi tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan itu yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.

Lori JIM itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.