
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Penawaran lebih banyak insentif dan program khusus bagi menangani masalah aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) wajar dijadikan antara tumpuan dalam Belanjawan 2027.
- Sediakan kemudahan pembiayaan jangka pendek, contohnya tiga hingga enam bulan, untuk membantu PKS atasi tekanan aliran tunai.
- Perluas program meningkatkan kecekapan operasi, termasuk sokongan teknologi AI, supaya PKS dapat manfaat tanpa kos tambahan tinggi.
- Tangani kenaikan serentak kos operasi seperti gaji, elektrik, sewa dan pengangkutan, kurangkan beban kos dan beri sokongan lanjut.
Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia), Dr. Chin Chee Seong berkata, langkah itu penting bagi menyokong kelangsungan perniagaan yang berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran ekonomi semasa.
Menurut beliau, kira-kira 70 hingga 80 peratus PKS menghadapi tekanan aliran tunai susulan peningkatan kos menjalankan perniagaan termasuk kenaikan kos bahan mentah, pengangkutan dan bahan api.
“Bagi PKS, kebanyakannya berdepan masalah aliran tunai kerana hasil perniagaan menurun dan perbelanjaan pengguna turut berkurangan. Apabila permintaan pengguna merosot, aliran tunai kita menjadi semakin tertekan dan sukar untuk bertahan,
“Bukan semua PKS memerlukan insentif, tetapi kita perlu menyediakan kemudahan pembiayaan, khususnya untuk tempoh jangka pendek, contohnya tiga hingga enam bulan, bagi membantu mereka melalui keadaan yang dihadapi akibat masalah aliran tunai ini,” katanya kepada pemberita selepas Forum PKS 2026 yang berlangsung pada Selasa.
Tambah beliau, kerajaan juga disaran memperluas program yang dapat meningkatkan kecekapan operasi PKS bagi membolehkan mereka memperoleh manfaat lebih menyeluruh tanpa perlu menanggung kos tambahan.
“Semua orang memang mahu mengurangkan kos, tetapi persoalannya ialah bagaimana untuk melakukannya dengan berkesan.
“Sebagai contoh, dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Malaysia sekarang, bagaimana perkembangan ini boleh membantu PKS meningkatkan kecekapan tanpa memerlukan kos yang tinggi?,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya peningkatan pelbagai kos operasi secara serentak menjadi antara cabaran utama yang dihadapi PKS ketika ini.
“Kos menjalankan perniagaan merupakan antara masalah utama. Bukan satu jenis kos sahaja yang meningkat. Ada kos cukai, peningkatan gaji pekerja asas, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tambahan bagi pekerja asing, kos elektrik, kos pihak berkuasa tempatan, kos sewaan, pengangkutan dan bahan api.
“Apabila semua kos ini meningkat pada masa yang sama, ia menjadi beban yang besar kepada PKS. Mereka sukar untuk membuat pindahan kos atau melakukan pelarasan harga dalam keadaan perniagaan yang sememangnya sedang berdepan tekanan,” katanya lagi.
Justeru, beliau berharap kerajaan memberi perhatian kepada usaha mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta menyediakan kemudahan pembiayaan.