
BOGOTA, 19 Ogos – Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud yang melanda barat Colombia pada 10 Ogos lalu menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan AS$9.57 bilion, menurut Presiden Abelardo de la Espriella pada Selasa.
- Korban: 289 orang maut, 4,187 cedera, 143 hilang.
- Hampir 27,000 rumah musnah; ramai terpaksa tidur di jalanan atau taman awam.
- Puluhan hospital dan sekolah runtuh atau rosak teruk akibat gegaran kuat.
- Presiden arah pelan pembinaan semula dengan sokongan sektor swasta; Menteri Perumahan dikritik kerana bercuti selepas bencana.
Angka berkenaan merupakan anggaran awal susulan bencana yang disifatkan sebagai gempa bumi paling kuat melanda Colombia dalam tempoh hampir setengah abad.
Jumlah korban kini mencecah 289 orang, manakala 4,187 lagi cedera dan 143 masih dilaporkan hilang.
Hampir 27,000 rumah musnah dalam bencana berkenaan, menyebabkan ramai penduduk terpaksa tidur di jalanan atau di taman awam.
Puluhan hospital dan sekolah turut runtuh atau mengalami kerosakan akibat gegaran kuat itu.
“Bayangkan skala bencana ini,” kata De la Espriella, yang baru tiga hari memegang jawatan ketika bencana berkenaan berlaku.
Krisis itu menjadi ujian besar kepada De la Espriella, seorang peguam berhaluan kanan dan tokoh perniagaan yang masih baharu dalam arena politik.
Beliau dipilih atas janji untuk membanteras kumpulan pemberontak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah dan menguasai sebahagian kawasan di Colombia.
Dalam usaha memulihkan kawasan terjejas, De la Espriella berkata beliau telah mengarahkan Menteri Perumahan Jaime Andres Beltran melancarkan pelan pembinaan semula yang disifatkannya sebagai satu “keajaiban”, dengan sokongan sektor swasta.
Bagaimanapun, Beltran berdepan kritikan selepas dilaporkan mengambil cuti di kawasan Caribbean sejurus selepas gempa bumi melanda, ketika negara sedang berdepan kemusnahan besar dan usaha menyelamat serta pemulihan sedang dijalankan. – AFP