Enam maut dalam serangan udara Israel di pelabuhan Gaza City

Foto AFP

BAITULMAQDIS, 19 Ogos – Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak, manakala 13 lagi cedera dalam serangan udara Israel di kawasan pelabuhan Gaza City pada Selasa, menurut pegawai kesihatan Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan menyasarkan khemah penduduk yang dipindahkan di kawasan pelabuhan Gaza.
  • Saksi melaporkan pesawat pejuang menyerang kafe "Sweet and Bitter" di pelabuhan nelayan barat Gaza City.
  • Tentera Israel mendakwa serangan mensasarkan komander Hamas yang didakwa merancang serangan terhadap anggota tentera Israel.
  • Peristiwa berlaku selepas pertemuan Jared Kushner dengan Netanyahu; Hamas bertemu Kushner, komited pada pelan damai AS dan gesa tekanan ke atas Israel.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmoud Bassal, berkata serangan itu menyasarkan khemah penduduk yang dipindahkan di kawasan pelabuhan Gaza.

“Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak, manakala sejumlah besar lagi cedera akibat serangan Israel ke atas khemah penduduk yang dipindahkan di pelabuhan Gaza,” katanya.

Hospital Al-Shifa di Gaza City pula memaklumkan menerima lima mayat dan 13 mangsa yang cedera, dengan seorang daripada mereka kemudian meninggal dunia pada sebelah petang.

Seorang saksi, Mohammed Alghoul, berkata pesawat pejuang Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah kafe ‘Sweet and Bitter’ di kawasan pelabuhan nelayan di barat Gaza City.

Bagaimanapun, tentera Israel mendakwa serangan udara itu dilancarkan secara tepat terhadap beberapa komander Hamas yang didakwa merancang serangan terhadap anggota tentera Israel yang beroperasi di Gaza.

Serangan berkenaan berlaku sehari selepas utusan White House, Jared Kushner, mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Netanyahu dilaporkan mengulangi pendiriannya bahawa pengunduran tentera Israel dari Gaza hanya akan dilakukan selepas Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.

Sementara itu, kumpulan Hamas yang dipimpin Khalil al-Hayya, yang turut mengadakan pertemuan dengan Kushner pada Ahad, berkata pihaknya komited terhadap pelan damai tajaan Amerika Syarikat.

Hamas pada masa sama menggesa pentadbiran Amerika Syarikat memberi tekanan kepada Netanyahu supaya mematuhi pelan berkenaan. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.