Penganjuran #QURANHOUR masuk kali ke-11, hidupkan semula gelombang kesedaran umat Islam

Malaysia #QuranHour 2026 akan berlangsung pada 30 Ogos ini dari 12 hingga 1 tengah hari di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur./ Foto fail BERNAMA

SHAH ALAM, 17 Ogos – Malaysia #QuranHour 2026 bertemakan “Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera”, dengan mengetengahkan Surah Al-Muzzammil dan Surah Al-Balad bagi membina kekuatan dalaman sebelum diterjemahkan kepada tindakan membantu masyarakat yang berdepan kesusahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengangkat Surah Al-Muzzammil dan Al-Balad untuk membina kekuatan dalaman yang diterjemah kepada tindakan membantu masyarakat.
  • Mengembalikan momentum sejak 2015 bagi meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap pematuhan, penghayatan dan amalan ajaran al-Quran.
  • Kerjasama media diperlukan untuk meluaskan gelombang kesedaran agar mesej kempen disampaikan serentak dan memberi impak lebih besar.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata penganjuran tahun ini diharap dapat mengembalikan momentum yang pernah dicetuskan sejak kempen berkenaan bermula pada 2015.

Menurut beliau #QuranHour mengajak masyarakat berhenti seketika untuk kembali kepada al-Quran, membina nilai murni dalam diri dan keluarga serta membawa perubahan kepada masyarakat.

“Kita berharap penyatuan itu dapat mewujudkan satu momentum dan gelombang besar ke arah meningkatkan kesedaran umat Islam tentang pentingnya mematuhi serta menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Quran,” katanya pada sidang media Majlis Taklimat Sinergi Media Sempena Malaysia #QuranHour 2026 di sini, hari ini,

Tambahnya kerjasama media amat penting dalam memperluas gelombang berkenaan dan memastikan mesej kempen dapat disampaikan kepada masyarakat secara lebih meluas.

“Gelombang itu boleh diperluaskan lagi. Jika satu media sahaja melaksanakan kempen tersebut, impaknya mungkin sudah dapat dilihat. Namun, sekiranya seluruh media di Malaysia secara serentak mengangkat dan menyampaikan kempen yang sama, kesannya pasti lebih besar dan menyeluruh,” katanya.

Malaysia #QuranHour 2026 akan berlangsung pada 30 Ogos ini dari 12 hingga 1 tengah hari di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.