Pengiktirafan Arab Saudi perkukuh keyakinan terhadap TH

Foto RTM

KOTA BHARU, 16 Ogos – Pengiktirafan tertinggi Kerajaan Arab Saudi menerusi Labaytum Diamond Award bagi 2025 dan 2026 mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan standard tinggi dalam pengurusan jemaah haji Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • TH tunjukkan kecemerlangan dalam pengurusan perjalanan jemaah dan mutu perkhidmatan di Tanah Suci.
  • Transformasi tadbir urus, pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan mula membuahkan hasil.
  • Pendeposit menyambut baik pencapaian, menaruh keyakinan terhadap kemampuan TH menjaga simpanan dan kebajikan jemaah.
  • Ramai membuat potongan simpanan untuk anak sebagai persediaan haji, menzahirkan kepercayaan berterusan terhadap institusi.

Pengiktirafan itu turut mencerminkan kecemerlangan TH dalam mengurus perjalanan jemaah di Tanah Suci, selain membuktikan transformasi yang dilaksanakan dalam aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan terus membuahkan hasil.

Lebih enam dekad selepas penubuhannya, TH terus memperkukuh pengurusan institusi berkenaan bagi memastikan kedudukannya kekal kukuh dan mampan, selain memenuhi amanah kepada lebih ramai pendeposit dan jemaah haji.

Di Kelantan, rata-rata pendeposit menyambut baik pencapaian berkenaan dan menyatakan keyakinan terhadap kemampuan TH mengurus simpanan serta menjaga kebajikan jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Bagi salah seorang pendeposit, Tuan Fauzi Tuan Ismail, pengalamannya menunaikan haji pada 2018 mengukuhkan pandangannya bahawa TH menyediakan perkhidmatan yang baik kepada jemaah Malaysia.

“Saya sudah lama menabung di Tabung Haji, lebih kurang 40 tahun dan saya sudah pergi ke Mekah.

“Saya pergi pada 2018. Ketika menunaikan haji di sana, saya rasakan Tabung Haji memang terbaik, termasuk dari segi kedudukan hotel yang tidak jauh dari tempat ibadat, makanan pun baik dan perkhidmatan juga terbaik,”

Sementara itu, Rabiatul Adawiyah Mohammad berkata keyakinannya terhadap TH berpandukan peranan institusi itu sejak awal penubuhannya dalam melindungi kepentingan pendeposit.

“Sejak awal penubuhannya lagi kita tahu teras Tabung Haji adalah melindungi semua pendeposit. Strategi dan pelan yang dilaksanakan juga amat baik dan saya harap perkara ini dikekalkan,” katanya.

Bagi Hasnida Ismail, kepercayaan terhadap TH turut mendorong beliau membuat potongan simpanan bulanan untuk lima anaknya sebagai persediaan menunaikan haji.

“Setakat ini, alhamdulillah memang terbaik. Saya buat potongan bulanan untuk anak-anak, bermula sejak mereka lahir sehingga sekarang.

“Lima anak saya semuanya membuat simpanan dan sudah didaftarkan untuk haji,” katanya.

Kejayaan TH mengekalkan prestasi dalam pengurusan haji dan kewangan dilihat penting bagi memastikan keyakinan pendeposit terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran pengurusan institusi yang semakin kompleks.

Selepas lebih enam dekad, cabaran mungkin berubah mengikut keperluan semasa, namun amanah TH kekal untuk memelihara simpanan pendeposit serta mempermudah perjalanan umat Islam dalam menyempurnakan rukun Islam kelima.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.