YEF 2026: Tingkatkan potensi, perkukuh asas jadi fokus PFAA

Foto PFAA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – “Meningkatkan Potensi” dan “Memperkukuh Asas” menjadi dua aspirasi utama yang diberi penekanan Persatuan Alumni Felo Perdana Malaysia (PFAA) dalam penyediaan polisi Forum Ekonomi Belia (YEF) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penglibatan belia mesti berterusan sehingga idea diterjemahkan menjadi cadangan pelaksanaan yang memberi impak ekonomi.
  • Maklum balas Timbalan Menteri Kewangan menilai kebolehlaksanaan, keutamaan dasar dan kesesuaian dengan hala tuju ekonomi negara.
  • Draf akan diperhalusi sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 3 Oktober sebagai input belanjawan 2027 dan hala tuju ekonomi.

Presiden PFAA, Fanitsyara Kam Phon berkata, aspirasi “Meningkatkan Potensi” memberi tumpuan kepada pengembangan ekonomi menerusi digital, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga mampan, manakala “Memperkukuh Asas” menekankan pembangunan bakat tempatan serta perlindungan sosial.

Jelas beliau, draf polisi berkenaan dibentangkan pada sesi Meja Bulat Dasar Awam 2026 anjuran PFAA, yang dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.

“Penglibatan belia dalam proses pembentukan dasar tidak seharusnya terhenti pada sesi mendapatkan pandangan.

“Kita mahu memastikan idea dan pengalaman generasi muda diterjemahkan kepada cadangan yang boleh dilaksanakan serta memberi impak kepada ekonomi negara,” jelas Fanitsyara dalam satu kenyataan.

Selepas pembentangan, Liew memberi pandangan terhadap cadangan berkenaan dari aspek kebolehlaksanaan, keutamaan dasar serta kesesuaiannya dengan hala tuju ekonomi negara.

Menurut Fanitsyara, maklum balas yang diterima akan diperhalusi, sebelum kertas polisi akhir dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 3 Oktober ini sempena YEF 2026.

Pembentangan itu bertujuan mengetengahkan aspirasi dan keutamaan generasi muda secara lebih langsung kepada pembuat dasar, khususnya menjelang Belanjawan 2027.

Memasuki edisi ke-10, YEF 2026 memfokuskan usaha membentuk hala tuju ekonomi negara bagi dekad akan datang menerusi penyertaan belia, industri dan pembuat dasar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.