
LONDON, 14 Ogos – Serangan terhadap fasiliti kesihatan, petugas dan pesakit di zon konflik termasuk Ukraine dan Gaza terus meningkat pada 2026, dengan purata lebih empat serangan direkodkan setiap hari.
- WHO mencatat lebih 900 serangan Januari hingga Ogos, mengakibatkan sekurang-kurangnya 900 kematian dan lebih 1,400 kecederaan.
- Ukraine, Lubnan dan Palestin yang diduduki merekodkan sebahagian besar insiden serangan terhadap fasiliti kesihatan.
- Sejak 2018 WHO mengesahkan lebih 10,400 serangan di 29 negara, mengakibatkan kira-kira 5,700 kematian dan lebih 8,500 kecederaan.
- Serangan menjejaskan akses rawatan, penghantaran ubat dan operasi ambulans, memberi kesan jangka panjang kepada sistem kesihatan; tiada pertuduhan dibuat.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO menunjukkan lebih 900 serangan direkodkan pada Januari hingga Ogos tahun ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 900 kematian dan lebih 1,400 kecederaan.
Pengarah Pengurusan Kemanusiaan dan Bencana WHO Altaf Musani berkata, Ukraine, Lubnan dan Palestin yang diduduki merekodkan sebahagian besar insiden berkenaan.
Serangan terhadap sektor kesihatan turut direkodkan di beberapa negara lain termasuk Iran, Sudan, Myanmar, Syria, Nigeria dan Republik Demokratik Congo.
“Serangan terhadap sektor kesihatan tidak berakhir apabila sesuatu serangan disahkan. Kesan berterusan kepada pesakit yang tidak dapat menerima rawatan pada keesokan harinya, serta ambulans tidak dapat menjalankan pemindahan pesakit seterusnya.
“Kesan serangan bukan hanya dirasai oleh mereka yang berada di dalam hospital pada hari kejadian. Ia memberi kesan kepada pesakit yang tidak dapat menerima rawatan,” katanya.
Sistem pemantauan WHO yang mula merekodkan insiden seumpama itu pada 2018 telah mengesahkan lebih 10,400 serangan di 29 negara dan wilayah.
Insiden berkenaan mengakibatkan kira-kira 5,700 kematian dan lebih 8,500 kecederaan.
Meskipun Ketua Pengarah WHO berulang kali menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik perlu bertanggungjawab atas serangan yang dilancarkan namun tiada satu pun daripada lebih 10,000 serangan yang disahkan itu didakwa.
Fasiliti kesihatan dilindungi bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Konvensyen Geneva.
Keganasan yang berlaku merangkumi pelbagai bentuk, termasuk penggunaan senjata berat, kemusnahan fasiliti kesihatan dan keganasan psikososial.
Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 44 insiden penculikan, penahanan atau penangkapan petugas kesihatan dan pesakit direkodkan, dengan penahanan petugas kesihatan merangkumi sebahagian besar kes berkenaan dan menjejaskan 94 petugas.
Serangan terhadap hospital turut memberi kesan jangka panjang kepada sistem kesihatan.
“Bekalan ubat-ubatan juga mungkin tidak lagi dapat dihantar ke fasiliti kesihatan. Kami kini mempunyai bukti bahawa kesan ini boleh menjadi besar dan berpanjangan,” katanya.- REUTERS