Kebakaran hutan di Kalimantan burukkan keadaan jerebu

Keadaan kebakaran di Kalimantan Tengah, Indonesia/ REUTERS

PALANGKARAYA, 14 Ogos – Penduduk di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, bersiap menghadapi keadaan jerebu yang semakin buruk susulan kebakaran hutan di Borneo yang kini menghampiri kawasan penempatan pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • El Nino perkuat musim kering, meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan pencemaran udara.
  • Antara Januari hingga Jun, 107,465 hektar terbakar, naik 110 peratus berbanding 2023.
  • Sebelas kawasan di Sarawak mencatatkan tahap kualiti udara tidak sihat.
  • Penduduk mahu tindakan kerajaan lebih proaktif; jerebu menyebabkan ramai jatuh sakit dan api kini serius.

Indonesia berdepan musim kering lebih panjang dan teruk tahun ini susulan pengaruh El Nino yang semakin kuat, sekali gus meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan pencemaran udara.

“Sekiranya jerebu bertambah buruk, saya fikir kami mungkin terpaksa berpindah kerana bimbang tidak mampu bertahan dengan keadaan ini,” kata nelayan, Hermanto.

Menurut data Kementerian Perhutanan Indonesia, sebanyak 107,465 hektar tanah terbakar antara Januari hingga Jun tahun ini, meningkat 110 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 ketika Indonesia turut terjejas akibat El Nino.

Di seberang sempadan di pulau Borneo, sebanyak 11 kawasan di Sarawak merekodkan tahap kualiti udara tidak sihat pada Selasa lalu, menurut data Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

Hermanto berkata penduduk berharap kerajaan mengambil tindakan lebih proaktif dan pantas bagi mengawal kebakaran.

“Kami berharap kerajaan bertindak lebih proaktif dan mengambil tindakan lebih pantas untuk mengawal kebakaran ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Eni Wulandari, berkata kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu amat membimbangkan penduduk, manakala jerebu yang terhasil menyebabkan ramai mengalami masalah kesihatan.

“Kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu amat mengecewakan kami yang tinggal di sini dan jerebu menyebabkan ramai penduduk jatuh sakit,” katanya.

Sementara itu, anggota bomba, Wertonego, berkata kebakaran hutan berkenaan berada pada tahap serius dan kawasan terjejas dipercayai sudah mencapai puluhan hektar.

“Mustahil untuk mengira keluasan sebenar dengan tepat kerana api merebak dari beberapa arah, termasuk dari Tasik Jelutung dan Tasik Rangas.

“Kebakaran itu kini membentuk satu kawasan api dan ia merebak ke Kampung Ketimpun,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.