Indonesia fokus lapan program utama dalam Belanjawan 2027

Prabowo Subianto/ REUTERS

JAKARTA, 14 Ogos – Presiden Indonesia Prabowo Subianto memaklumkan Belanjawan 2027 akan kekal ekstensif dengan tumpuan kepada lapan program utama, termasuk mencapai tahap sara diri dalam makanan dan tenaga, membangunkan sektor perindustrian domestik serta memperkukuh pendidikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan menubuhkan bursa komoditi strategik, disasarkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027 di bawah seliaan OJK.
  • Kerajaan rangka harga rujukan eksport komoditi untuk kawal pasaran, kurangkan manipulasi dan beri kepastian kepada pengeluar serta pelabur.
  • Danantara Sumberdaya Indonesia akan memantau eksport sebagai usaha pusatkan kawalan terhadap komoditi strategik negara.
  • Belanjawan dan dasar fiskal berdepan cabaran seperti penyusutan rupiah, aliran keluar modal dan kebimbangan pelabur mengenai ketelusan pasar.

Dalam ucapan tahunan pembentangan belanjawan di Parlimen, Prabowo turut mencadangkan penubuhan bursa komoditi bagi komoditi strategik Indonesia yang disasarkan mula beroperasi pada 1 Januari 2027.

Cadangan itu susulan rancangan kerajaan memantau eksport komoditi menerusi syarikat Danantara Sumberdaya Indonesia.

“Kami mahu membangunkan harga rujukan Indonesia bagi komoditi utama yang dieksport Indonesia,” katanya dalam ucapan berkenaan.

Beliau menegaskan Indonesia lebih rela tidak memperdagangkan mineral seperti nikel, timah dan arang batu sekiranya pembeli tidak bersetuju dengan harga yang ditetapkan Indonesia.

Dasar ekonomi dan fiskal Prabowo menjadi perhatian pelabur sejak beliau memegang jawatan pada Oktober 2024, terutama selepas peningkatan peruntukan subsidi bahan api kerajaan tahun ini susulan kenaikan harga minyak mentah global.

Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan kerajaan membiayai pelbagai program utama yang memerlukan perbelanjaan besar.

Agenda fiskal Prabowo turut berdepan cabaran susulan penyusutan nilai rupiah dan aliran keluar modal yang besar, didorong kebimbangan terhadap kesihatan fiskal Indonesia, kebebasan bank pusat, isu ketelusan pasaran ekuiti serta dasar kontroversi kerajaan untuk memusatkan eksport komoditi.

Menurut Prabowo struktur Belanjawan 2027 direka untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan mempercepat peningkatan kemakmuran rakyat.

“Struktur Belanjawan 2027 direka supaya ekstensif, kolaboratif, mempunyai hala tuju jelas dan seimbang bagi terus memacu pertumbuhan ekonomi serta mempercepatkan kemakmuran.

“Sinergi antara dasar fiskal dan monetari, sektor kewangan serta Danantara perlu berfungsi sebagai satu kesatuan,” katanya.

Sementara itu bursa komoditi dan mineral strategik akan beroperasi bawah seliaan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Indonesia (OJK).

“Kami akan mengendalikan bursa komoditi strategik dan mineral di bawah Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan. Dengan sokongan Parlimen, rancangan kami adalah untuk mula mengendalikannya pada 1 Januari. Menjelang tarikh itu, kita akan mempunyai bursa komoditi sendiri,” katanya.

Dalam pada itu Indonesia juga akan membangunkan harga rujukan bagi komoditi, khususnya komoditi eksport.

“Kami akan mewujudkan pasaran yang mendalam, telus, cair dan dipercayai dunia. Pengeluar, petani, pengeksport, pembeli dan pelabur akan bertemu dalam satu sistem yang diselia, dengan data transaksi lebih jelas dan ruang lebih kecil untuk manipulasi,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.