
SAUDARA PENGARANG
- Institusi perlu kesiapsiagaan kapasiti holistik termasuk bilik kuliah, makmal, penginapan, pengangkutan, kemudahan digital, kebajikan dan sokongan mahasiswa.
- Perancangan pengambilan mesti serentak dengan unjuran kapasiti menggunakan data UPU, demografi dan model ramalan untuk elak tekanan operasi.
- Ukur pengalaman mahasiswa sebagai ukuran kejayaan; bina indeks pengalaman bagi pengangkutan, kediaman, internet, ruang belajar, makanan dan kaunseling.
- Gunakan pendekatan bina, optimumkan dan kerjasama; optimekan aset, gandeng kerajaan serta swasta, dan lanjutkan komunikasi proaktif.
Setiap kali tiba musim pengumuman kemasukan ke universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, ribuan keluarga di seluruh negara menunggu dengan penuh debaran.
Ada yang membuka portal berkali-kali, ada ibu bapa yang tidak putus berdoa, dan ada anak muda yang akhirnya melihat perkataan ‘tahniah’ pada skrin sebagai permulaan kepada sebuah perjalanan baharu.
Di sebalik kegembiraan itu, terdapat satu perkembangan yang sebenarnya wajar diraikan. Pendidikan tinggi masih menjadi aspirasi penting generasi muda Malaysia. Semakin ramai mahu menyambung pengajian, memperoleh kemahiran dan mengubah kedudukan sosioekonomi keluarga melalui pendidikan.
Bagi sesi akademik 2026/2027, dijangka pengambilan pelajar ke universiti, politeknik dan kolej komuniti meningkat yang mana peluang turut diperluaskan kepada kelompok tertentu termasuk orang kurang upaya, orang asli, atlet dan golongan B40.
Angka yang meningkat ini tidak sepatutnya dilihat sekadar sebagai statistik kemasukan. Sebaliknya, membawa makna bahawa semakin ramai anak Malaysia diberikan peluang membina masa depan melalui pendidikan.
Peluasan akses sebegini mempunyai hubungan dengan mobiliti sosial, pembangunan modal insan dan keupayaan negara menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Namun, ketika kita meraikan semakin luasnya pintu pendidikan tinggi, sudah tiba masanya kita turut berbicara tentang satu lagi dimensi yang sama penting: kesiapsiagaan institusi menerima pertambahan mahasiswa.
Kampus bukan sekadar bilik kuliah
Apabila disebut tentang kapasiti universiti atau institusi pendidikan tinggi, kecenderungan kita adalah melihat berapa banyak tempat pengajian yang tersedia. Hakikatnya, kapasiti sebuah institusi jauh lebih luas. Seorang mahasiswa bukan sekadar memerlukan kerusi di dalam dewan kuliah.
Mereka memerlukan makmal, perpustakaan, ruang belajar, kemudahan internet, pengangkutan, kafeteria, perkhidmatan kesihatan, kaunseling, kemudahan sukan dan dalam banyak keadaan, tempat tinggal.
Dokumen analisis mengenai kesiapsiagaan kampus turut menekankan bahawa kapasiti pendidikan tinggi perlu merangkumi kolej kediaman, bilik kuliah, makmal, ruang pembelajaran, pengangkutan kampus, kemudahan digital, makanan, kesihatan, kaunseling serta perkhidmatan sokongan mahasiswa.
Sebab itu sebuah universiti mungkin masih mempunyai kapasiti akademik untuk menerima lebih ramai mahasiswa tetapi pada masa yang sama mengalami tekanan dalam aspek tertentu, misalnya kolej kediaman atau pengangkutan.
Perkara ini bukan alasan untuk mengehadkan akses pendidikan tinggi. Sebaliknya, ia membawa kepada satu prinsip mudah iaitu akses dan kapasiti perlu dirancang secara serentak.
Pengalaman mahasiswa juga ukuran kejayaan
Kejayaan pendidikan tinggi selama ini banyak dinilai menggunakan ukuran seperti jumlah kemasukan, kadar graduasi, kebolehpasaran graduan, penyelidikan dan kedudukan universiti.
Semua ukuran tersebut penting. Namun terdapat satu lagi dimensi yang wajar diberikan perhatian lebih besar, iaitu pengalaman kehidupan mahasiswa.
Bayangkan seorang mahasiswa baharu yang mendapat tempat dalam program impiannya tetapi setiap pagi perlu menunggu bas terlalu lama. Atau mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah yang terpaksa mencari kediaman di luar kampus kerana tempat penginapan terhad.
Ada pula yang berhadapan jadual makmal terlalu padat, kesukaran mendapatkan ruang belajar atau capaian internet yang tidak konsisten. Satu masalah mungkin kelihatan kecil secara berasingan, tetapi apabila dialami setiap hari selama satu semester, ia boleh mempengaruhi pembelajaran, kesejahteraan serta persepsi mahasiswa terhadap institusi.
Dokumen berkenaan turut mengenal pasti pengangkutan, penginapan dan kemudahan pembelajaran sebagai antara aspek kapasiti yang memberikan kesan langsung kepada pengalaman mahasiswa.
Justeru, suara mahasiswa tidak sepatutnya hanya dilihat sebagai aduan. Ia sebenarnya merupakan data lapangan yang sangat bernilai. Sekiranya ramai mahasiswa melaporkan bas penuh pada pukul 8 pagi, maklumat itu menunjukkan wujudnya tekanan kapasiti pada waktu tertentu.
Jika permohonan kolej kediaman meningkat dengan ketara, data tersebut boleh membantu universiti merancang keperluan penginapan pada masa hadapan. Kita perlu bergerak daripada budaya menyelesaikan masalah selepas ia berlaku kepada budaya meramalkan masalah sebelum ia berlaku.
Lima perkara boleh dipertimbangkan
Pertama, sudah tiba masanya setiap institusi mempunyai gambaran lebih menyeluruh mengenai tahap kesiapsiagaan kapasiti masing-masing.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) boleh mempertimbangkan pembangunan satu Indeks Kesiapsiagaan Kapasiti IPT yang menilai bukan sahaja kapasiti akademik, tetapi juga kediaman, pengangkutan, kemudahan pembelajaran, kebajikan dan kapasiti digital.
Idea ini tidak bertujuan mewujudkan ranking baharu atau menghukum institusi, tetapi berfungsi sebagai sistem amaran awal. Jika sesuatu universiti dijangka menerima peningkatan mahasiswa yang besar, tekanan terhadap pengangkutan atau kolej kediaman boleh dikenal pasti lebih awal.
Kedua, unjuran kapasiti perlu bergerak bersama perancangan pengambilan mahasiswa. Data permohonan UPUOnline, trend demografi, populariti program, sejarah enrolmen dan kapasiti kemudahan boleh digunakan bagi membina model ramalan.
Sebelum jumlah pengambilan dimuktamadkan, soalan seperti “jika jumlah mahasiswa bertambah 10 peratus, apakah kesannya terhadap bas, asrama, makmal dan ruang kuliah?” boleh dijawab terlebih dahulu. Pendekatan sebegini mengalihkan pengurusan daripada reaktif kepada perancangan kapasiti secara prediktif.
Ketiga, kita perlu mengukur pengalaman mahasiswa, bukan sekadar mengira aset. Universiti mungkin mempunyai 20 buah bas, misalnya, tetapi angka itu tidak memberitahu sama ada mahasiswa menunggu lima minit atau 45 minit.
Kita boleh membangunkan indeks pengalaman mahasiswa dengan indikator mudah seperti tempoh menunggu pengangkutan, kemudahan memperoleh kediaman, akses internet, ruang belajar, makanan, kebersihan, kemudahan sukan dan akses kepada perkhidmatan kaunseling.
Cadangan asal dokumen tersebut menyebut pendekatan Student Capacity Experience Index yang menggunakan pengalaman pengguna sebagai sebahagian daripada pertimbangan pembangunan.
Keempat, penyelesaian tidak semestinya bermaksud membina bangunan baharu. Pendekatan ‘Build, Optimise and Partner’ boleh digunakan. Infrastruktur baharu dibina apabila benar-benar terdapat jurang kapasiti struktural.
Pada masa yang sama, aset sedia ada dioptimumkan melalui penjadualan lebih baik, perkongsian ruang, teknologi serta pengangkutan berasaskan permintaan. Institusi juga boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta serta penyedia penginapan dan pengangkutan.
Kelima, komunikasi dengan mahasiswa dan masyarakat perlu semakin proaktif. Pada setiap musim kemasukan, institusi boleh menjelaskan berapa ramai mahasiswa baharu yang diterima, kapasiti kemudahan tersedia, cabaran yang dijangka serta langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan.
Komunikasi sebegini bukan menunjukkan kelemahan. Sebaliknya, ia membina kepercayaan kerana masyarakat mengetahui bahawa sesuatu isu dikenal pasti dan sedang diuruskan.
Peluang memperkukuh sistem
Semua cadangan ini tidak bermaksud sistem pendidikan tinggi negara sedang berhadapan krisis. Sebaliknya, pertambahan permintaan terhadap pendidikan tinggi memberikan peluang untuk kita memperkukuh sistem yang sudah berkembang.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 menyediakan kerangka yang sesuai untuk perkara ini kerana fasa awal pelaksanaannya sendiri memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus, pembangunan kapasiti serta mekanisme pemantauan dan penilaian.
Dalam aspek penginapan pula, sasaran penyediaan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal menjelang 2035 menunjukkan bahawa isu kapasiti sememangnya telah menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang pendidikan tinggi negara.
Yang diperlukan sekarang ialah memastikan perancangan enrolmen, infrastruktur, operasi dan pengalaman mahasiswa semakin bersepadu. Pada akhirnya, kejayaan pendidikan tinggi tidak boleh diukur semata-mata melalui berapa ramai calon menerima tawaran universiti, politeknik atau kolej komuniti.
Tawaran kemasukan hanyalah permulaan. Ukuran kejayaan sebenar ialah apabila seorang anak muda yang melangkah masuk ke kampus mempunyai ruang yang mencukupi untuk belajar, tempat yang selamat untuk tinggal, kemudahan yang membantunya berkembang serta sistem sokongan yang membolehkan beliau menamatkan pengajian dengan baik.
Maka ketika ribuan keluarga sedang bergembira menerima keputusan kemasukan pendidikan tinggi pada musim ini, kita juga perlu melihat satu langkah ke hadapan.
Membuka pintu pendidikan tinggi kepada lebih ramai rakyat ialah satu pencapaian. Memastikan mereka dapat belajar dan berkembang dengan baik selepas melangkah masuk melalui pintu itu ialah tanggungjawab kita yang seterusnya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham
Fakulti Pengajian Sains Citra
Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

ChM. Muhammad Azim Jamaluddin
Jabatan Teknologi Kimia dan Makanan
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN)

Dr. Raden Mohd Farhan Helmy Raden Ismail
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)