
RIGA, 14 Ogos – Jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menembak jatuh sebuah dron yang memasuki ruang udara Latvia, menurut jurucakap pertubuhan itu pada Jumaat.
- NATO melancarkan siasatan susulan kebimbangan meningkat terhadap aktiviti dron tanpa kebenaran di sayap timur Eropah.
- Asal usul dron itu masih belum dapat dipastikan.
- Dua jet Eurofighter Itali dan dua F-16 Turkiye dikerahkan, semua pesawat beroperasi di bawah arahan NATO.
- Dalam mesyuarat, negara anggota NATO menyatakan Rusia bertanggungjawab terhadap pelanggaran ruang udara yang berbahaya.
Perkara itu sekali gus mengesahkan kenyataan terdahulu Kementerian Pertahanan dan tentera Latvia. NATO turut melancarkan siasatan berhubung kejadian itu ketika kebimbangan di Eropah meningkat susulan aktiviti dron tanpa kebenaran, khususnya di sepanjang sayap timur pakatan yang bersempadan dengan Rusia.
Perang Rusia-Ukraine yang memasuki tahun kelima turut menyaksikan kedua-dua negara menggunakan dron secara meluas dalam serangan.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan dari mana datangnya dron yang ditembak jatuh di ruang udara Latvia itu.
Jurucakap NATO memaklumkan bahawa dua jet pejuang Eurofighter Itali dikerahkan selepas sebuah dron dikesan di ruang udara Latvia, sebelum salah satu jet berkenaan menembak jatuh dron tersebut. Dua jet pejuang F-16 Turkiye turut dikerahkan ke lokasi.
“Semua pesawat beroperasi bawah arahan NATO,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Terdahulu pada Jumaat, Kementerian Pertahanan Latvia memaklumkan menerusi platform X bahawa jet pejuang NATO berjaya menembak jatuh sebuah kenderaan udara tanpa pemandu asing yang memasuki ruang udara negara itu.
Latvia, negara anggota Kesatuan Eropah (EU) dan NATO mempunyai kira-kira 1.9 juta penduduk, bersempadan dengan Rusia di sebelah timur.
Latvia serta negara lain di sayap timur NATO termasuk Romania dan Poland sebelum ini berdepan beberapa kejadian pencerobohan ruang udara.
Dalam mesyuarat pada Rabu, negara anggota NATO menegaskan bahawa Rusia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelanggaran ruang udara berkenaan yang disifatkan berbahaya dan tidak boleh diterima, selain menunjukkan peningkatan toleransi Rusia terhadap risiko.
Sementara itu, Finland turut mengenakan sekatan sementara terhadap aktiviti penerbangan dan maritim di kawasan timur Teluk Finland pada Jumaat.
Angkatan Pertahanan Finland berkata langkah itu diambil sebagai prosedur berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan orang awam serta keupayaan pihak berkuasa menangani kemungkinan ancaman dron.
Pada Isnin, jet pejuang Perancis yang ditempatkan bagi misi Baltic Air Policing NATO turut menembak jatuh sebuah dron di Latvia.
Kejadian itu merupakan kali pertama pasukan tindak balas pantas NATO menembak jatuh dron yang tersasar di ruang udara negara berkenaan.
Di Jerman, pihak berkuasa minggu lalu menemukan sebuah dron yang membawa bahan letupan di Lapangan Terbang Leipzig.
Menurut pegawai operasi di Lapangan Terbang Hanover turut terganggu pada Selasa selepas sebuah dron memasuki ruang udara terhad.- REUTERS