Ketekunan, usaha kunci kejayaan dalam sukan permotoran – Tunku Abdul Rahman

Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 13 Ogos – Tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan menjadi antara kunci kejayaan dalam dunia sukan permotoran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teruskan usaha selepas kegagalan; gunakan pengalaman jatuh bangun untuk membina ketabahan dan kemajuan berterusan.
  • Latihan dan persediaan fizikal serta mental yang konsisten memastikan kesiapsiagaan menghadapi cabaran perlumbaan antarabangsa.
  • Kongsi pengalaman melalui program seperti Motorsports Talk memberi pendedahan penting kepada mahasiswa dan membina ekosistem berprestasi tinggi.

Itu pesanan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim ketika berkongsi pengalaman bersama mahasiswa menerusi sesi Motorsports Talk 2.0 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.

Tunku Abdul Rahman bersama Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar, turut berkongsi pengalaman jatuh bangun selama enam tahun bersama Johor Motorsports Racing (JMR) sebelum berjaya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurut Tunku Abdul Rahman, kejayaan tidak datang dengan mudah sebaliknya memerlukan persediaan fizikal dan mental yang konsisten, selain kesungguhan untuk terus memperbaiki kelemahan.

“Memang dah berapa tahun kita berlatih, termasuk persediaan fizikal dan mental. Bila sampai ke situ, tiba masanya kita memang sudah bersedia.

“Ini yang saya tunggu selama enam tahun saya berlumba. Pada masa itulah segala titik peluh, pembelajaran dan perkara yang kita mahu perbaiki semuanya kita berikan,” katanya.

Musim ini, JMR mencipta kejayaan apabila merangkul gelaran Pro-Am dalam perlumbaan CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium.

Kejayaan berkenaan menjadi kemuncak kepada perjalanan panjang pasukan itu dalam membina pengalaman serta meningkatkan prestasi di pentas perlumbaan antarabangsa.

Sesi Motorsports Talk 2.0 di UTM dianjurkan bagi memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai ekosistem sukan permotoran berprestasi tinggi, termasuk pengalaman, cabaran dan persediaan yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam bidang berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.