Anggota tentera cedera terkena tembakan di pipi ketika latihan menembak

TDM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos- Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) cedera akibat terkena tembakan ketika menjalani latihan menembak bagi persiapan pertandingan Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) di sebuah lapang sasar di Sungai Menyala, Port Dickson, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang anggota terkena tembakan selepas rakan menembak tanpa sedar mangsa berada di belakang sasaran; peluru menembusi pipi kanan hingga rahang bawah kiri.
  • Mangsa dikejarkan ke hospital, rawatan awal menghentikan pendarahan; tiada kecederaan dalaman, kini stabil dan ditidurkan untuk rawatan lanjut.
  • PDRM dan Tentera Darat menjalankan siasatan terperinci; seorang anggota ditahan; Tentera Darat mohon orang ramai tidak berspekulasi.

TDM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Markas Tentera Darat melaporkan kejadian menimpa Truper Muhammad Akhmal Shahrudin itu berlaku kira-kira 2.15 petang.

“Ketika kejadian, seorang lagi anggota sedang melaksanakan latihan sebelum melepaskan tembakan ke sasaran pada jarak 25 meter tanpa menyedari Muhammad Akhmal masih berada di belakang sasaran berkenaan.

“Keadaan itu mengakibatkan anggota mengalami kecederaan di bahagian pipi kanan sehingga menembusi ke rahang bawah kiri,” menurut kenyataan itu.

TDM memaklumkan mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal bagi menghentikan pendarahan, manakala hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan dalaman.

“Keadaan anggota berkenaan ketika ini stabil dan beliau ditidurkan untuk rawatan lanjut. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengenal pasti punca serta faktor yang membawa kepada kejadian itu,” menurut kenyataan itu.

TDM memandang serius insiden berkenaan dan akan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, TDM memaklumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berdukacita dengan kejadian itu serta mendoakan agar Muhammad Akhmal dipermudahkan segala urusan sepanjang proses rawatan dan pemulihan.

“TDM turut menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada proses siasatan dijalankan secara telus dan adil,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Mohd Nasharudin Mohd Shariff mengesahkan seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang juga anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.