
ALOR SETAR, 13 Ogos – 17 nelayan warga tempatan yang bekerja di atas sebuah bot pukat jerut Zon C ditahan kerana menceroboh kawasan perairan Taman Laut Pulau Payar, Kedah.
- Pemeriksaan mendapati bot menggunakan lampu bawah air dan mematikan alat pengesan vesel (MTU).
- Bot dan peralatan menangkap ikan dirampas, dianggarkan bernilai RM500,000.
- Kes dikenakan tindakan di bawah Akta Perikanan dan disiasat; jabatan mengingatkan nelayan patuhi peraturan bagi kelestarian sumber.
Bot berkenaan ditahan pada pukul 12.30 tengah malam tadi oleh tujuh anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Langkawi, pada kedudukan 0.1 batu nautika dari Pulau Segantang.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris, berkata hasil siasatan mendapati bot berkenaan melakukan beberapa kesalahan, termasuk menggunakan lampu bawah air dan mematikan alat pengesan vesel (MTU).
Bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM500,000 turut disita.
Bot berkenaan ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan dalam kawasan taman laut, selain beberapa kesalahan melanggar syarat lesen di bawah Seksyen 8(b) akta yang sama.
Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Langkawi untuk siasatan lanjut.
Sukri mengingatkan para nelayan supaya tidak mengambil mudah usaha pihak jabatan dalam menjaga dan mengawasi perairan taman laut daripada dicerobohi.
Katanya, kegiatan pencerobohan ke kawasan perairan taman laut boleh menjejaskan usaha pihak jabatan dalam menguruskan sumber perikanan secara mampan.
Beliau berkata, perairan taman laut dijaga sebaik mungkin bagi memastikan sumber perikanan negeri terus dipelihara dan ditingkatkan, sekali gus membolehkan hasilnya dinikmati di seluruh kawasan perairan Kedah.
Peningkatan sumber perikanan itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh 7,609 nelayan di Kedah.
Beliau turut menyeru semua nelayan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak jabatan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negeri terus terpelihara.