
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Acara KL Women’s Running Festival yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini bukan sekadar larian riadah khas untuk wanita, sebaliknya menjadi platform pemerkasaan diri, penjagaan kesihatan serta ruang selamat bagi golongan itu membina keyakinan diri.
- Festival direka untuk memberi ruang wanita meraikan diri dan menggalakkan mereka utamakan kesihatan dan kesejahteraan.
- Acara wujudkan ruang eksklusif untuk wanita tanpa menyisihkan sekutu lelaki yang turut melalui pengalaman serupa.
- Tumpuan pada menangani isu khusus wanita yang kadangkala dianggap normal tetapi tidak sepatutnya berlaku.
- Pelbagai aktiviti termasuk bengkel kesejahteraan, larian santai, dan penyertaan keluarga bagi sokongan serta galakan gaya hidup aktif.
Pengarah Urusan Guardian Malaysia, Priscilla Wu berkata, festival itu direka khas untuk memberi ruang kepada wanita meraikan diri, selain menggalakkan mereka mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri.
“Ia merupakan satu langkah besar yang kami ambil untuk mewujudkan ruang yang eksklusif untuk wanita. Namun, kami sama sekali tidak menyisihkan sekutu lelaki kerana kami menyedari mereka juga melalui pengalaman yang sama.
“Pada masa sama, kami mengakui terdapat perkara tertentu yang hanya dialami oleh wanita dan ingin kami tangani. Kadangkala kita menganggap sesuatu perkara itu normal, sedangkan hakikatnya ia tidak sepatutnya berlaku.
“Kami hanya mahu mewujudkan ruang yang selamat, iaitu tempat untuk wanita saling bertanya khabar, berkongsi pengalaman dan mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran KL Women’s Running Festival di ibu negara di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk bengkel kesejahteraan dan larian santai, dengan acara berkenaan bertujuan memupuk penghargaan terhadap diri sendiri, membina keyakinan serta menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan wanita.
Meskipun acara larian itu dikhususkan kepada wanita, ahli keluarga dan rakan lelaki turut dialu-alukan hadir bagi memberikan sokongan di kawasan festival serta menyertai acara kemuncak, sekali gus meraikan usaha insan tersayang dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri.