
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) diharapkan terus yakin terhadap proses penambahbaikan yang dilaksanakan pihak bertanggungjawab susulan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu.
- Pihak berkuasa Malaysia mempunyai kredibiliti dan peraturan jelas untuk mengurus institusi seperti Tabung Haji.
- Proses penambahbaikan perlu dilihat secara positif supaya pengurusan TH dapat dijalankan lebih berkesan.
- Fokus pada matlamat asal membantu umat Islam menunaikan haji; pelaksanaan syor RCI dan kepimpinan kini boleh pulihkan persepsi.
Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuhaimi Abdul Rahim berkata, Malaysia mempunyai pihak berkuasa yang mempunyai kredibiliti pengurusan institusi dengan baik.
“Sebagai pendeposit, kita kena yakin bahawa setiap proses yang dilakukan adalah untuk menambah baik perkara yang telah berlaku. Kita kena yakin bahawa di Malaysia ini sebenarnya kita mempunyai peraturan yang jelas, baik dan juga teratur,” katanya demikian ketika ditemui pemberita RTM selepas program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Menurut beliau, proses penambahbaikan perlu dilihat secara positif bagi memastikan pengurusan TH dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam masa sama, sebarang isu berkaitan pengurusan organisasi juga perlu dilihat berdasarkan matlamat asal penubuhan TH, khususnya dalam membantu umat Islam menunaikan ibadah haji.
“Hasrat pendeposit dalam Tabung Haji ini adalah keutamaannya untuk memastikan bahawa menunaikan tanggungjawab mengerjakan haji. Itu memang asas utama”
“Tapi saya percaya, keadaan sekarang ni kita boleh pulihkan persepsi kita dan yakin dengan kepimpinan yang ada sekarang,” katanya.
Beliau yakin persepsi masyarakat terhadap TH dapat dipulihkan menerusi proses penambahbaikan dan pelaksanaan syor laporan RCI tersebut oleh pihak yang berautoriti.