
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mendapatkan maklumat berkaitan agama perlu disertai semakan dan rujukan daripada pihak berautoriti.
- AI memberi kemudahan, namun setiap maklumat perlu ditabayyun dan disemak, terutama berkaitan hukum.
- Perkara melibatkan al-Quran, hadis dan hukum mesti dirujuk kepada institusi agama atau ulama yang berautoriti.
- Manfaatkan AI untuk motivasi dan dakwah secara berhemah tanpa menjejaskan kefahaman dan pegangan agama.
Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Zuhaimi Abdul Rahim, berkata teknologi itu sememangnya menawarkan kemudahan dan kepantasan dalam mendapatkan maklumat, namun pengguna perlu memastikan kesahihan maklumat yang diperoleh.
“AI merupakan satu bidang ilmu baharu yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat, khususnya daripada segi kecerdasan dan kecekapan.
“Namun, setiap maklumat yang diperoleh perlu ditabayyun atau disemak terlebih dahulu, terutama apabila melibatkan perkara berkaitan hukum. Dalam konteks Islam, terdapat perkara-perkara tertentu yang memerlukan sandaran kepada hukum dan sumber yang sahih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita RTM selepas program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Tambah beliau, penggunaan AI bagi tujuan umum seperti mendapatkan motivasi dan dakwah boleh dimanfaatkan masyarakat.
Namun, perkara yang melibatkan hukum dan perintah agama perlu disemak terlebih dahulu dengan institusi agama atau ulama.
“Perkara yang melibatkan fakta serta dalil daripada al-Quran dan hadis seharusnya disemak dengan pihak yang berautoriti, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hukum-hakam. Kita bimbang perkara itu boleh memberi kesan kepada akidah dan pegangan kita,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan kemajuan teknologi dimanfaatkan secara berhemah tanpa menjejaskan kefahaman dan pegangan agama.