
KUCHING, 12 Ogos – Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dunia dalam Laporan Penarafan Daya Saing berbanding tempat ke-23 pada tahun lalu.
- Malaysia kini negara kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura.
- Peningkatan didorong oleh kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan yang menunjukkan prestasi lebih baik.
- RKB mencatat 447 projek dilaksanakan dan penjimatan kos RM2.95 bilion; sasaran 500 projek tambahan dengan RM2.5 bilion penjimatan.
Pencapaian itu sekali gus berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara kedua paling berdaya saing di ASEAN selepas Singapura.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata peningkatan itu antaranya didorong prestasi lebih baik dalam aspek kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan.
“Kedudukan kecekapan kerajaan meningkat daripada ke-25 kepada ke-14.
“Manakala, kecekapan perniagaan daripada kedudukan ke-32 kepada ke-16,” katanya.
Malaysia turut mencatat kedudukan keenam terbaik dunia bagi indikator birokrasi sekali gus mencerminkan impak positif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
“Sebanyak 447 projek RKB telah dilaksanakan setakat ini dengan anggaran penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.95-bilion,” katanya lagi.
Tambah beliau, bagi tahun depan, kerajaan menyasarkan pelaksanaan 500 lagi projek reformasi kerenah birokrasi dengan sasaran penjimatan kos pematuhan sebanyak RM2.5 bilion, sekali gus memperkukuh kecekapan pentadbiran dan daya saing negara.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari IntegritiSarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.