
KOTA BHARU, 12 Ogos – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempercepatkan proses bayaran pampasan dan faedah lain bernilai lebih RM200,000 yang layak diterima keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, 6 Ogos lalu.
- KDN percepatkan bayaran pampasan dan faedah bernilai lebih RM200,000 untuk keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim.
- Langkah itu bertujuan meringankan beban balu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin dan anak lelaki mereka, Hariz Idraqi, dua tahun.
- Semua bayaran dan faedah yang layak akan diproses segera secara 'fast track', tanpa melalui prosedur biasa.
- Menteri menziarahi keluarga di Ketereh; menyampaikan sumbangan termasuk IPK Sabah, IPK Kelantan dan caruman takaful Koperasi PDRM.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi meringankan beban balu Allahyarham, Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, dan anak mereka, Hariz Idraqi, dua tahun.
Beliau berkata, semua bayaran dan faedah yang layak diterima keluarga akan diproses secara segera tanpa melalui prosedur biasa.
“Saya juga meminta supaya semua bentuk bayaran lain yang Allahyarham layak terima diproses secara ‘fast track’ supaya dapat diselesaikan dalam kadar segera.
“Tujuannya untuk meringankan beban isteri kerana Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki berusia dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menziarahi keluarga Allahyarham di Kampung Hutan Pasir, Ketereh, di sini, hari ini.
Datuk Seri Saifuddin turut menyampaikan sumbangan daripada beberapa pihak, termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, IPK Kelantan serta caruman takaful Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, PDRM sentiasa memberi penekanan terhadap aspek kebajikan anggotanya dalam apa jua keadaan, manakala kehilangan setiap anggota merupakan kehilangan besar kepada pasukan.