
SERDANG, 12 Ogos – Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 tampil dengan pelbagai tarikan dan keistimewaan baharu kepada pengunjung antaranya Agro Safari, Floating Market, Kiddies Wonderland serta penambahan pavilion negeri.
- Laman Smart Farming pamer penggunaan teknologi moden, membolehkan pengunjung melihat dan merasai inovasi dalam tanaman, ternakan dan perikanan.
- Pelbagai aktiviti interaktif termasuk Sukan Rakyat Pertanian dan Rewang Warisan memberi pengalaman budaya dan pendidikan kepada pengunjung.
- MAHA 2026 berlangsung 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS, dengan pertunjukan dron dan bunga api sempena Ambang Merdeka serta tawaran diskaun produk agro.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, ia sekali gus bakal memberi pengalaman lebih menyeluruh dan interaktif kepada pengunjung dengan mengetengahkan trend terkini dalam pertanian dan teknologi.
Pameran kali ini turut menyediakan Laman Smart Farming bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.
“Kita sering bercakap mengenai pelbagai teknologi, namun kita mahu masyarakat dapat melihat dan merasai sendiri teknologi yang boleh membantu sektor pertanian. Kita turut menyediakan laman tanaman, ternakan dan perikanan yang sentiasa mendapat sambutan, selain pelbagai aktiviti interaktif untuk memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung.
“Antara aktiviti yang disediakan ialah Sukan Rakyat Pertanian dan Rewang Warisan yang sememangnya dinantikan pengunjung,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media khas sempena MAHA2026 di sini hari ini.
Lebih istimewa pada malam Ambang Merdeka akan diadakan pertunjukan cahaya termasuk persembahan khas yang menggabungkan pertunjukan dron bersama bunga api.
Para pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran diskaun bagi produk agro sepanjang penganjuran MAHA 2026.
Bertemakan ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’, MAHA 2026 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, dengan penglibatan lebih 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara.