
KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Pengumuman kadar tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mendapat perhatian orang ramai, khususnya pengguna yang menantikan kemudahan pengangkutan baharu menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.
- ECRL tingkatkan akses ke kawasan pedalaman, memudahkan pergerakan penduduk dan pelancong ke destinasi sukar dicapai.
- Kadar tambang dianggap berpatutan dengan diskaun untuk kanak-kanak, keluarga ramai, OKU, penjawat awam dan warga emas.
- Pengusaha pelancongan lihat stesen ECRL di Terengganu bantu promosi Hulu Terengganu dan kurangkan kos perjalanan pelawat.
- ECRL dijangka buka peluang ekonomi, tingkatkan bilangan pelancong dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Di Terengganu, ECRL turut dilihat berpotensi meningkatkan aksesibiliti ke kawasan pedalaman serta merancakkan sektor pelancongan negeri.
Bagi orang ramai, kadar tambang yang diumumkan menjadi antara pertimbangan utama, terutama bagi keluarga yang ingin menggunakan perkhidmatan itu untuk pulang ke kampung ketika musim perayaan.
Orang awam, Tengku Nor Azlin Tengku Azaha menyifatkan kadar tambang berkenaan sebagai berpatutan, lebih-lebih lagi dengan adanya diskaun untuk kanak-kanak dan keluarga yang mempunyai ramai anak.
“Kalau musim raya, kita boleh pilih untuk naik kereta api dengan harga yang mampu milik, termasuk bagi orang kampung. Kanak-kanak pun boleh mendapat diskaun. Jadi, saya rasa kadar tambang ini sesuai, terutama bagi mereka yang mahu pulang ke kampung bersama keluarga besar,” katanya.
Sementara itu, pesara kerajaan, Shafie Sulong, menyambut baik kemudahan tersebut yang disifatkannya sebagai peluang untuk penduduk Terengganu menikmati perjalanan menggunakan kereta api ke Kuala Lumpur.
“Selama ini kita hanya bercakap tentang hasrat untuk menaiki kereta api. Sekarang, perkhidmatan ini sudah ada di Terengganu dan harganya juga berpatutan. Bagus juga apabila terdapat diskaun untuk golongan OKU, penjawat awam dan warga emas. Inilah peluang untuk kita merasai pengalaman menaiki kereta api ke Kuala Lumpur,” ujarnya.
Dari sudut pelancongan, kemudahan ECRL turut dijangka memudahkan pergerakan pelancong ke destinasi yang sebelum ini mengambil masa dan kos perjalanan lebih tinggi, khususnya di kawasan pedalaman.
Pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, Zulhafiz Zarriq pula berkata, kewujudan stesen ECRL di Terengganu berpotensi meningkatkan akses ke Hulu Terengganu, sekali gus memudahkan pelancong mengunjungi destinasi di kawasan berkenaan.
“ECRL ini satu kemudahan yang baik kerana dapat meningkatkan aksesibiliti, khususnya ke Hulu Terengganu. Ia berpotensi mengurangkan kos perjalanan bagi pengunjung dari luar negeri ini, sekali gus memberi manfaat kepada industri pelancongan,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha pelancongan berasaskan komuniti, Mohd Azrangie Jaafar berharap kemudahan dan kecekapan ECRL dapat memberi impak positif kepada masyarakat setempat, terutama melalui peningkatan jumlah pelancong ke Terengganu.
“Saya berharap kemudahan ECRL yang cekap ini dapat memberi impak besar kepada masyarakat di Terengganu, khususnya dalam sektor pelancongan berasaskan komuniti. Saya yakin kemudahan ini berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negeri ini,” demikian menurut pandangan Mohd Azrangie.
Secara keseluruhan, ECRL diharap bukan sahaja menjadi pilihan pengangkutan baharu yang lebih mudah, malah turut membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat serta memperkukuh industri pelancongan Terengganu.