Pahang perkasa pengenalpastian bakat sukan murid

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Program Training of Trainers (ToT) Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat Sukan (MyTID) di Pekan hari ini / Foto BERNAMA

PEKAN, 20 Oktober – Pahang memperkasa usaha mengenal pasti dan membangunkan bakat sukan murid sejak peringkat awal menerusi pelaksanaan Program Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat Sukan (MyTID) secara saintifik dan sistematik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan ToT melibatkan 66 guru dari 48 sekolah untuk menyelaraskan ujian, pengumpulan data dan kawalan kualiti MyTID.
  • Pengenalpastian bakat menggunakan kaedah saintifik diadaptasi dari Eropah bagi memastikan data tepat menyokong pembangunan bakat sukan negara.
  • MyTID merangkumi ujian antropometri, koordinasi motor, kecergasan dan penilaian minat; projek rintis dilaksanakan bersama ISN, KPM dan JPN Pahang.

Inisiatif itu diperkukuh menerusi latihan Training of Trainers (ToT) yang melibatkan 66 guru daripada 48 sekolah kebangsaan di negeri ini bagi menyelaraskan kaedah ujian, pengumpulan data dan kawalan kualiti dalam proses mengenal pasti potensi sukan murid.

Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Dr Zulkarnain Ismail berkata, pengenalpastian bakat sukan melalui kaedah saintifik penting bagi memastikan potensi murid dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus menyokong pembangunan bakat sukan negara secara lebih terancang.

“Latihan ini bertujuan menyelaraskan pelaksanaan ujian, pengumpulan data dan kawalan kualiti, termasuk penilaian minat terhadap sukan, menggunakan kaedah yang diadaptasi dari Eropah.

“Usaha ini penting bagi memastikan data yang tepat dan berkualiti dapat menyokong proses pengenalpastian bakat sukan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Training of Trainers (ToT) Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat Sukan (MyTID) di Pekan, Pahang hari ini.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Datuk Seri Dr Zulkarnain berkata, dapatan projek rintis MyTID dari 2023 hingga 2025 menunjukkan hanya lima peratus murid berusia tujuh hingga 12 tahun di Malaysia berada dalam kategori kemahiran motor yang baik, berbanding 10 peratus di Eropah.

Latihan teori dan amali selama tiga hari, bermula 19 hingga 21 Oktober itu, akan membolehkan guru terbabit bertindak sebagai tenaga penguji MyTID di sekolah masing-masing, selain membantu mengumpul data bagi pelaksanaan projek rintis di Pahang.

MyTID merangkumi ujian antropometri, koordinasi motor, kecergasan fizikal dan penilaian minat murid terhadap sukan bagi mengenal pasti potensi mereka secara menyeluruh.

Projek rintis itu dilaksanakan melalui kerjasama ISN, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, dengan matlamat membangunkan model pelaksanaan yang boleh dinilai dan diperkukuh sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.