
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang yang dijadual dibentangkan di Parlimen tahun depan berpotensi memperkukuh tadbir urus industri e-dagang negara, sekali gus meningkatkan perlindungan pengguna dan membantu jenama tempatan bersaing menerusi penawaran produk berkualiti.
- RUU dijangka memperkukuh tadbir urus, proses pengesahan, ketulenan produk serta perkhidmatan selepas pembelian.
- Perdana Menteri maklumkan RUU akan dibentangkan untuk memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual.
- Hanya 20% pengguna Malaysia digelar Pengguna Bijak; mereka berbelanja 36% lebih tinggi, menunjukkan peluang mempertingkatkan pengesahan dan tabiat membeli-belah.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, RUU berkenaan dijangka mewujudkan persekitaran e-dagang yang lebih jelas dan teratur, selain memastikan kepentingan pengguna serta penjual di platform berkenaan terus dilindungi.
“Kami percaya bahawa Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang ini akan merangkumi pelbagai aspek yang berkaitan dengan kepentingan serta jaminan perlindungan kepada pengguna dan penjual di platform e-dagang.
“Ini termasuk aspek tadbir urus secara menyeluruh, proses pengesahan, ketulenan produk serta perkhidmatan selepas pembelian. Semua perkara ini sebenarnya telah lama kami usahakan di Lazada,” katanya demikian dalam sidang media selepas pembentangan Corak Perbelanjaan Dalam Talian di Malaysia: Laporan Pengguna Bijak E-Dagang 2026 Asia Tenggara di sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan bahawa RUU E-Dagang akan dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian.
Sementara itu, laporan berkenaan menganggarkan jurang perbelanjaan e-dagang tahunan di Malaysia bernilai AS$900 juta (kira-kira RM3.67 bilion), berdasarkan perbezaan ketara dalam corak perbelanjaan pengguna ketika membeli-belah dalam talian.
Laporan itu turut mendapati hanya satu daripada lima pengguna dalam talian di Malaysia dikategorikan sebagai “Pengguna Bijak” (Savvy Shopper). Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berbelanja 36 peratus lebih tinggi setiap bulan berbanding pengguna umum.
“Pengguna Bijak ditakrifkan berdasarkan pencapaian penanda aras dalam empat dimensi, iaitu pengesahan maklumat produk, pengoptimuman nilai, keyakinan dan perlindungan, serta kecekapan digital,” katanya lagi.
Kajian itu turut menunjukkan peratusan Pengguna Bijak di Malaysia berada pada paras 20 peratus, sedikit rendah berbanding purata serantau sebanyak 24 peratus.
“Walaupun peratusan Pengguna Bijak di Malaysia lebih rendah berbanding purata serantau sebanyak 24 peratus, kajian ini menunjukkan terdapat peluang untuk memperkukuh tabiat membeli-belah pengguna, khususnya dari segi pengesahan,jelasnya.