Dasar tiket terminal APAD tidak jejas pengusaha bas ekspres

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Pelaksanaan dasar penjualan tiket melalui terminal yang dilesenkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak akan menjejaskan pengusaha bas ekspres.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar bertujuan mengawal selia ejen penjualan tiket dalam talian terutama OTA yang kebanyakannya berpangkalan luar negara.
  • Menjamin penjualan tiket melalui terminal berlesen APAD bagi memudahkan penguatkuasaan dan kawalan operasi.
  • Isu seperti perkhidmatan tidak disediakan atau permohonan bayaran balik sukar dikawal apabila jualan dibuat melalui OTA.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dasar itu bertujuan mengawal selia ejen penjualan tiket dalam talian atau Online Travel Agents (OTA), yang kebanyakannya berpangkalan di luar negara.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan penjualan tiket dilakukan melalui terminal berlesen APAD, selain menangani isu operasi yang timbul daripada urusan jualan menerusi OTA.

“Langkah ini bertujuan memastikan penjualan tiket dilakukan melalui terminal yang dilesenkan oleh APAD, bukannya melalui OTA semata-mata. Ini kerana OTA merupakan ejen penjualan tiket dalam talian dan bukannya pemegang lesen untuk mengendalikan terminal.

“Apabila berlaku masalah seperti perkhidmatan tidak disediakan atau permohonan bayaran balik, terdapat perkara yang sukar kita kawal selia. Kita juga telah mengenal pasti pelbagai isu operasi yang timbul daripada penjualan tiket melalui OTA” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di sini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, urusan komersial antara pengendali terminal dengan syarikat bas akan dibincangkan secara langsung oleh kedua-dua pihak, manakala kementerian bertanggungjawab menetapkan dasar berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.