
KOTA BHARU, 12 Ogos – Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama keselamatan sempadan menerusi mekanisme antara kerajaan (G2G) dan kerjasama polis dengan polis (P2P) bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
- G2G dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan yang bersidang dua kali setahun.
- Kerjasama P2P melibatkan pasukan polis di Perlis, Kedah dan Kelantan yang sentiasa menyelaras usaha keselamatan.
- Perkongsian risikan, pembinaan keupayaan dan operasi bersama menjadi fokus utama kerjasama polis rentas sempadan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama G2G dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand yang bersidang dua kali setahun.
Beliau berkata, kerjasama P2P pula membabitkan pasukan polis di tiga negeri sempadan iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan yang sentiasa mengadakan perbincangan serta menyelaras usaha berkaitan keselamatan.
“Kerjasama polis ini membabitkan tiga perkara, iaitu perkongsian risikan, pembinaan keupayaan dan operasi bersama jika perlu.
“Dari segi G2G pula, bahagian kita kendalikan dan pertemuan serta lawatan rasmi, termasuk lawatan baru-baru ini di peringkat bilateral oleh KDN, turut membincangkan perkara berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menziarahi keluarga Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, di Kampung Hutan Pasir, di sini, hari ini.
Allahyarham meninggal dunia akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Saifuddin berkata, pengurusan kawasan sempadan merupakan perkara sensitif kerana ia membabitkan soal kedaulatan kedua-dua negara serta pergerakan rakyat Malaysia dan Thailand.