Thailand balas dendam, Malaysia kempunan Piala Raja Thai

Piala Raja Thai 2026

BANGKOK, 11 Ogos – Pasukan sepak takraw Thailand membalas dendam selepas tewas kepada Malaysia pada Sukan SEA dan Piala Dunia apabila menewaskan skuad kedua negara 2-0 pada final acara berpasukan lelaki Piala Raja Thai 2026 di Fashion Island Mall, Bangkok, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Thailand kini 37 kali juara Piala Raja Thai daripada 39 edisi sejak 1985.
  • Malaysia terus gagal menamatkan kemarau gelaran Piala Raja Thai sejak 1988.
  • Regu utama Malaysia (Zarif, Noraizat, Kamarul Ezzad) tewas 7-15, 11-15; lawan sering sasar Kamarul Ezzad.
  • PSM hantar skuad kedua; pemain muda peroleh pendedahan penting walaupun tewas, termasuk kekalahan pertama kepada Filipina minggu lalu.

Kemenangan itu menyaksikan Thailand menambah koleksi kejuaraan kepada 37 daripada 39 edisi kejohanan berkenaan sejak mula dianjurkan pada 1985, manakala Malaysia terpaksa menunggu lebih lama untuk menamatkan kemarau gelaran yang berlarutan sejak 1988.

Regu pertama negara yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim, Muhammad Noraizat Nordin dan Kamarul Ezzad Kamarul Imran gagal menghalang tuan rumah apabila tewas 7-15, 11-15 kepada gandingan Pornthep Tinbangbon, Jirasak Pakbuangoen dan Marukin Phanmakon.

Malaysia bermula goyah pada set pertama apabila tekong Thailand, Pornthep, kerap menyasarkan serangan ke kawasan Kamarul Ezzad, sekali gus menyukarkan regu negara membina rentak permainan.

Pada set kedua, Malaysia tampil lebih meyakinkan apabila beberapa kali mendahului, namun Thailand kembali menguasai permainan sebelum melebarkan jurang untuk menutup kemenangan 15-11.

Malaysia kemudian mempertaruhkan Haziq Hairul Nizam, Hafizul Hayazi Adnan dan Zulefendi Sumari pada regu kedua dalam usaha mengheret perlawanan ke regu penentuan.

Namun, Thailand sekali lagi terlalu ampuh apabila gandingan Tanaphon Sapyen, Kritsanapong Nontakote dan Wuttinun Kamsanor mencatat kemenangan 15-9, 15-12 untuk mengesahkan kejuaraan buat tuan rumah.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus gagal menamatkan kemarau kejuaraan Piala Raja Thai, yang berlarutan sejak 1988.

Keputusan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menghantar skuad kedua ke kejohanan kali ini turut menyaksikan Malaysia berdepan cabaran lebih getir selepas mencipta sejarah tewas kepada Filipina buat kali pertama dalam saingan antara regu pada minggu lalu.

Bagaimanapun, kemaraan ke final tetap memberi pendedahan penting kepada barisan pemain muda negara sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.