RCI Tabung Haji: Dapatan perlu disusuli siasatan penguatkuasaan

Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) perlu disusuli dengan tindakan siasatan penuh agensi penguatkuasaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan RCI mesti dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional untuk memastikan keadilan serta melindungi hak pendeposit Tabung Haji.
  • Laporan RCI 2014–2020 didapati pendedahan proses kelulusan pelaburan tidak teratur; syor kajian forensik ke atas 14 keputusan pelaburan perlu diperjelas.
  • Kerangka undang-undang dan tadbir urus perlu diperkukuh bagi menghentikan amalan gali lubang tutup lubang dalam badan berkanun.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah berkenaan penting bagi melengkapkan proses pemulihan serta memperkukuh hala tuju dan tadbir urus TH.

“Dapatan ini perlu disusuli segera dengan tindakan siasatan penuh oleh agensi penguat kuasa, selain meneliti syor-syor penambahbaikan bagi melengkapkan proses pemulihan.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh hala tuju serta tadbir urus Tabung Haji pada masa akan datang,” katanya ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sebarang siasatan berkaitan dapatan RCI perlu dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta tiada mana-mana pihak teraniaya khususnya memastikan hak dan keadilan kepada pendeposit TH terus terpelihara.

Pada masa sama, laporan RCI bagi tempoh 2014 hingga 2020 penting untuk mendapatkan penilaian berasaskan fakta dan undang-undang berhubung isu pengurusan serta operasi TH.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah dapatan berkaitan proses kelulusan pelaburan TH, termasuk beberapa pelaburan yang didakwa mencurigakan serta dibuat tanpa proses sewajarnya.

“Terdapat pihak yang menganggap kerugian hampir RM13 bilion yang dialami Tabung Haji sehingga 2018 berpunca daripada turun naik biasa pasaran saham. Namun, laporan RCI jelas mendapati proses pelaburan di Tabung Haji tidak dilaksanakan secara teratur.

“Adakah kerajaan mengambil tindakan susulan terhadap syor RCI supaya kajian forensik dijalankan terhadap sekurang-kurangnya 14 keputusan pelaburan yang disifatkan merugikan,” katanya lagi.

Sehubungan itu Datuk Armizan meminta kerajaan menjelaskan pandangan terhadap syor RCI supaya tadbir urus pelaburan dan pengawalseliaan TH diperkukuh.

Pada masa sama beliau meminta penjelasan lanjut mengenai tindakan kerajaan terhadap syor RCI agar kajian forensik dilaksanakan ke atas sekurang-kurangnya 14 keputusan pelaburan yang telah dikenal pasti.

Ke arah itu, kerangka perundangan dan tadbir urus lebih kukuh perlu diwujudkan bagi menghentikan amalan tadbir urus kewangan ‘gali lubang, tutup lubang’ di badan berkanun dan agensi kerajaan daripada terus diwarisi generasi akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.