
TEHRAN, 10 Ogos – Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran bertegas tidak akan membuka laluan Selat Hormuz sehingga Amerika Syarikat (AS) memenuhi senarai tuntutannya, termasuk membayar pampasan kerosakan akibat perang.
- IRGC menegaskan akan mengekalkan penutupan Selat Hormuz sehingga musuh menerima syarat-syarat yang ditetapkan.
- Tehran mengawal laluan, mahu kenakan tol dan dilaporkan menyerang kapal yang cuba mengelak laluan ditetapkan.
- Perantara desak patuhi memorandum Jun; Iran tuntut pengakhiran perang, batal sekatan, pembukaan aset dan ganti rugi; tekanan politik terhadap AS meningkat.
Pada Ahad, Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau memilih pendekatan untuk bertenang serta yakin dan percaya bahawa tekanan ekonomi akan menyebabkan Iran mengalah.
Tehran pula bertegas untuk mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz dan mahu mengenakan caj tol kepada kapal yang melalui laluan perdagangan strategik itu.
Malah, Iran juga dikatakan melancarkan serangan ke atas kapal-kapal yang didakwa cuba untuk mengelak daripada menggunakan laluan yang ditetapkan.
Serangan berterusan di perairan itu yang menyaksikan tiada caj dikenalkan sebelum perang, telah menyebabkan gencatan senjata yang dikuatkuasakan pada April lepas gagal dipertahankan.
Para perantara mendesak kedua-dua pihak agar kembali mematuhi syarat-syarat ditetapkan dalam memorandum yang dipersetujui pada Jun sebagai asas kepada rundingan damai.
“Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran pada Sabtu mengemukakan senarai syarat untuk pembukaan semula Selat Hormuz, termasuk menamatkan perang di semua sempadan hadapan, menarik balik sekatan AS ke atas pelabuhan Iran, menamatkan sekatan, melepaskan aset yang dibekukan dan membayar ganti rugi kerosakan perang, lapor agensi berita Tasnim.
Syarat-syarat berkenaan mempunyai persamaan dengan terma perjanjian pada Jun, yang antara lain menetapkan pembentukan dana pembinaan semula Iran bernilai AS$300 bilion dolar.
IRGC memaklumkan, strategi mereka adalah untuk mengekalkan sekatan itu sehingga musuh menerima semua syarat ditetapkan.
“Selat Hormuz kini menjadi medan perang bagi kami dan bukan sekadar laluan air,” tegas mereka.
Penutupan Selat Hormuz menambah tekanan kepada rakyat Amerika Syarikat, sekali gus mencetuskan tekanan politik terhadap Trump ketika pilihan raya pertengahan penggal November semakin hampir.
Bagaimanapun, pemimpin AS itu kekal optimis dalam satu perbualan dengan Axios pada Ahad.
“Kami mengambil pendekatan secara bersahaja,” kata Trump mengenai pendekatannya dalam satu temu bual.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, sebelum itu berkata Tehran hanya ‘bertukar-tukar mesej’ dengan Amerika Syarikat menerusi pihak perantara. – AFP