Tiga lelaki ditahan selepas video rusuhan tular

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 9 Ogos – Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 56 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian merusuh di hadapan sebuah hotel di Bandaraya Johor Bahru, 6 Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan.
  • Polis menerima laporan pada 8 Ogos selepas video tular memaparkan keganasan terhadap seorang pegawai kanan polis.
  • Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek mendapati keputusan negatif dadah.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Sementara usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Azrul Hisham Mohd Shaffei mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian sekumpulan individu merusuh oleh seorang pegawai polis setelah melihat video berkenaan di media sosial, semalam.

Menurutnya, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 petang itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati serta mabuk.

“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan yang dijalankan, polis menahan tiga lelaki tempatan pada kira-kira pukul 3 petang, 8 Ogos di hadapan hotel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Semakan rekod jenayah lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 25 rekod di bawah kesalahan jenayah dan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.