Maghribi, Algeria mara ke separuh akhir WAFCON, layak ke Piala Dunia Wanita 2027

Foto AFP

JOHANNESBURG, 9 Ogos – Maghribi dan Algeria mara ke separuh akhir Piala Negara Afrika Wanita (WAFCON) dan layak ke Piala Dunia Wanita FIFA 2027 di Brazil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maghribi menewaskan Afrika Selatan 2-1 di Rabat; Sakina Ouzraoui (min 31) dan Hanane Ait El Haj (penalti) menjaringkan.
  • Algeria bangkit menewaskan Ivory Coast 2-1 di Casablanca; Ines Khiri dan Amira Braham menjaringkan, selepas N'Sira Ouedraogo dilayangkan kad merah.
  • Separuh akhir: Maghribi menentang pemenang Nigeria atau Cameroon; Algeria akan bertemu pemenang perlawanan antara Ghana dan Malawi.

Dalam aksi suku akhir, kedua-dua pasukan menempuh laluan yang berbeza dengan Maghribi menewaskan Afrika Selatan, 2-1 di Rabat.

Manakala, Algeria yang ketinggalan kepada Ivory Coast di Casablanca, berjaya memanfaatkan kelebihan selepas pemain lawan dilayangkan kad merah untuk melakar kemenangan, 2-1.

Dalam perlawanan separuh akhir pada Rabu, Maghribi akan berdepan sama ada penyandang juara, Nigeria atau Cameroon, manakala Algeria bertemu pemenang perlawanan antara Ghana dengan Malawi.

Setakat ini, tiada negara Afrika Utara pernah merangkul piala kejohanan bola sepak wanita utama Afrika itu yang didominasi oleh Nigeria dengan 10 gelaran juara.

Hanya dua negara lain pernah muncul juara WAFCON sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1998, iaitu Equatorial Guinea sebanyak dua kali dan Afrika Selatan sekali.

Maghribi, yang muncul naib juara empat tahun lalu, membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi gol Sakina Ouzraoui sebelum Hanane Ait El Haj menambah gol enam minit selepas rehat menerusi sepakan penalti.

Bintang Afrika Selatan, Thembi Kgatlana, kemudian merapatkan jurang pada minit ke-67.

Di Casablanca, Ines Konan meletakkan Ivory Coast di depan pada minit ke-29, namun mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain sebelum tamat separuh masa pertama selepas pemain remaja N’Sira Ouedraogo dilayangkan kad merah.

Algeria menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit sebelum dan selepas genap satu jam permainan menerusi pemain gantian Ines Khiri dan Amira Braham untuk mengubah rentak perlawanan memihak kepada mereka.

Pengadil melayangkan kad merah terhadap Ouedraogo, 18, kerana menendang muka penjaga gol Algeria, Chloe N’Gazi, sekali gus menyebabkan Ivory Coast hilang penguasaan yang dibina sepanjang separuh masa pertama.

Algeria menguasai permainan selepas rehat dan mencipta lebih banyak peluang untuk melakar kemenangan dengan lebih selesa. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.