Carrick pantau kecederaan Mount selepas seri dengan PSG

Bintang Manchester United, Mason Mount / REUTERS

GOTHENBURG, 9 Ogos – Pengurus Manchester United, Michael Carrick menegaskan beliau mengambil pendekatan berhati-hati terhadap keadaan Mason Mount selepas pemain tengah England itu mengalami kecederaan dalam aksi persahabatan menentang Paris Saint-Germain (PSG), pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakaman selepas perlawanan menunjukkan Mount mampu berjalan tanpa sokongan khas, memberi sedikit kelegaan kepada kem United.
  • Penjaga gol veteran Tom Heaton mengalami masalah hamstring pada awal separuh masa kedua, menimbulkan kebimbangan kecederaan tambahan.
  • Perlawanan dianggap persiapan berguna menjelang musim baharu, walaupun United terikat 1-1 dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

Mount, yang hanya beraksi kurang 20 minit sebelum dikeluarkan, dilihat mengalami kecederaan pada bahagian kaki selepas menerima terjahan.

“Dia terkena sepakan. Kami hanya mahu berhati-hati dan menjaganya,” kata Carrick kepada pemberita.

“Kami bernasib baik tidak banyak masalah kecederaan setakat ini, jadi kami tidak mahu mengambil risiko,” katanya.

Rakaman selepas perlawanan bagaimanapun menunjukkan Mount mampu berjalan tanpa sokongan khas, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada kem United.

Dalam perlawanan itu, United terikat 1-1 selepas ketinggalan seawal minit kedua menerusi jaringan Ibrahim Mbaye sebelum Bryan Mbeumo menyamakan kedudukan pada minit ke-32.

Namun, kebimbangan United tidak terhenti di situ apabila penjaga gol veteran, Tom Heaton turut mengalami masalah hamstring pada awal separuh masa kedua.

Carrick tetap melihat aksi itu sebagai persiapan berguna menjelang musim baharu.

“Saya menikmatinya. Ia satu cabaran yang baik. Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol,” katanya kepada MUTV.

Beliau berkata perlawanan seperti itu membantu pemain menyesuaikan diri dan menyelesaikan masalah di atas padang sebagai persediaan menghadapi saingan sebenar.

United dijadualkan menghadapi Leeds United dan AC Milan dalam dua lagi aksi pemanas badan sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris menentang Hull City pada 22 Ogos. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.