Karnival Pendidikan MADANI 2026, semarakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat

Foto RTM

LABUAN, 8 Ogos – Karnival Pendidikan Madani 2026 menjadi platform dalam menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, selain mencungkil bakat dan menggalakkan kreativiti dalam kalangan warga pendidikan di Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh hubungan antara sekolah, keluarga, masyarakat, agensi kerajaan dan industri untuk menjayakan agenda pendidikan.
  • Melahirkan generasi yang mengamalkan nilai kemanusiaan, hormat menghormati, kebijaksanaan dan semangat kebersamaan.
  • Menyediakan pameran, persembahan bakat, forum, program TVET, aktiviti sukan serta inisiatif bantuan dan penambahbaikan infrastruktur pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, program berkenaan turut memperkukuh hubungan antara sekolah, keluarga, masyarakat, agensi kerajaan dan pihak industri dalam menjayakan agenda pendidikan.

Pada masa sama, penganjuran karnival itu mampu melahirkan generasi yang mempunyai nilai kemanusiaan, hormat menghormati, kebijaksanaan, serta memiliki semangat kebersamaan.

“Usaha memasyarakatkan pendidikan ini dilaksanakan agar masyarakat, khususnya ibu bapa, dapat melihat sendiri pameran-pameran yang diadakan sempena karnival ini. Selain itu, karnival ini turut bertujuan mewujudkan ruang kerjasama antara pihak sekolah, pihak industri dan pihak-pihak berkepentingan yang lain agar dapat berkolaborasi dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Pendidikan Madani 2026 peringkat Labuan di sini.

Karnival berkenaan menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran pendidikan, persembahan bakat murid, forum, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), aktiviti sukan serta Jualan Rahmah.

Pada majlis berkenaan, beberapa bantuan dan peruntukan turut disampaikan termasuk cek cura Bantuan Awal Persekolahan Tingkatan Enam 2026 berjumlah lebih RM35,000, Peruntukan Khas Prakarsa Ubah Suai, Naik Taraf dan Penyelenggaraan Bilik Guru bernilai RM1 juta selain Program Sekolah Angkat MADANI kepada Sekolah Kebangsaan Bebuloh dan Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha masing-masing bernilai RM100,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.