BN masih buka ruang rundingan kerusi PRN Melaka – Ahmad Zahid

Foto BERNAMA

KUDAT, 8 Ogos – Barisan Nasional (BN) masih membuka ruang perundingan berhubung pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk pertukaran kawasan, asalkan ia dibuat dengan jujur dan ikhlas, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerusi yang telah dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.
  • Perundingan untuk pertukaran kerusi dibenarkan asalkan jumlah kerusi kekal sama dan pertukaran dibuat secara seimbang.
  • Pintu perundingan tetap terbuka tetapi tidak boleh dibuka terlalu luas atau ditutup sepenuhnya.

Beliau berkata prinsip asas perundingan itu menetapkan kerusi yang telah dimenangi oleh mana-mana parti perlu dihormati dan tidak diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

“Sebagaimana yang saya nyatakan… Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh), yang juga Pengerusi BN Melaka, menyatakan bahawa asasnya, sebarang perundingan, di mana-mana kerusi yang dimenangi oleh mana-mana parti, kedudukan itu hendaklah dihormati.

“… tetapi perundingan boleh dilakukan untuk ‘swap’ atau pertukaran kerusi asalkan jumlah kerusi itu sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rungus di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pilihan pertukaran kerusi juga boleh dirunding membabitkan negeri-negeri lain yang dikuasai parti berkenaan, dengan syarat ia dibuat secara seimbang.

“Prinsip kami adalah bahawa tidak mustahil kalau pintu itu terus terbuka untuk perundingan tetapi jangan buka seluas-luasnya (dan) jangan tutup pintu itu serapat-rapatnya,” katanya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.