
GEORGE TOWN, 8 Ogos – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang kekal komited untuk meneruskan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO.
- Kerjasama PH dan BN di peringkat negeri kekal utuh berlandaskan kesepakatan yang dibentuk sejak 2023.
- PH mengambil maklum komitmen UMNO dan BN di peringkat Persekutuan untuk mengekalkan kerjasama sehingga PRU akan datang.
- Ada ruang penambahbaikan bagi memastikan keperluan dan kepentingan rakyat Pulau Pinang terus diberi perhatian.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerjasama antara PH dan BN di peringkat negeri kekal utuh dan terus berlandaskan kesepakatan yang dibentuk sejak 2023.
“Kita hanya mengambil maklum apa yang disebut di peringkat Persekutuan bahawa UMNO dan BN telah menyatakan komitmen untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Itulah pendirian rasmi Pakatan Harapan dan UMNO di peringkat negeri. Tiada apa-apa kenyataan yang bercanggah dengan pendirian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP di di sini.
Chow Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam pelbagai aspek, khususnya dalam memastikan keperluan dan kepentingan rakyat Pulau Pinang terus diberi perhatian dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian.