
MONTREAL, 8 Ogos -Pemain tenis Amerika Syarikat Ben Shelton mencatatkan lapan ‘ace’ dan tiga ‘love game’ pada set kedua untuk menewaskan Zizou Bergs 6-3, 6-2 sekali gus mara ke pusingan keempat Kejohanan ATP Masters Montreal pada Jumaat.
- Shelton bijak manfaat kesilapan lawan, mara ke pusingan 16 terakhir buat kali pertama musim ini.
- Shelton menanti pemenang perlawanan Casper Ruud dan Joao Fonseca untuk tempat ke suku akhir.
- Tallon Griekspoor bangkit menewaskan Matteo Arnaldi dan akan bertemu Daniel Merida pada pusingan seterusnya.
Pemain berusia 23 tahun yang juga pilihan kelima kejohanan mencerahkan peluang memburu gelaran di Kanada selepas mengambil masa hanya 65 minit untuk menundukkan wakil Belgium itu.
Shelton bijak memanfaatkan kesilapan ‘foot fault’ dan ‘double-fault’ lawan untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir buat kali pertama musim ini.
Shelton kini menantikan pemenang perlawanan antara pilihan kesembilan dari Norway Casper Ruud dan pemain muda Brazil Joao Fonseca bagi penentuan tempat ke suku akhir.
Dalam pada itu, pemain Belanda Tallon Griekspoor meneruskan kehebatan selepas mengejutkan pilihan utama Alexander Zverev, apabila bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk menewaskan Matteo Arnaldi dari Itali 3-6, 6-4, 6-3.
Griekspoor, yang menghuni kedudukan ke-66 dunia, bangkit untuk mengatasi Arnaldi dalam tempoh lebih dua jam.
Griekspoor dijadual berdepan wakil Sepanyol Daniel Merida pada pusingan seterusnya selepas pemain itu menundukkan Alex Michelsen dari Amerika Syarikat 6-4, 6-7 (4/7), 6-1. – AFP