
JOHOR BAHRU, 7 Ogos – Sindiket ‘Flying Pasport’ yang dipercayai mewujudkan rekod pergerakan palsu warga asing tanpa kehadiran pemilik pasport di pintu masuk negara, berjaya ditumpaskan susulan penahanan tiga individu ditahan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, semalam.
- Operasi bermula jam 10 pagi susulan siasatan Op Crack yang dijalankan bersama SPRM.
- Sindiket mengenakan bayaran RM700 setiap pasport untuk mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM.
- Ejen mengumpul muka hadapan pasport dan hantar salinan melalui WhatsApp kepada sekongkol untuk diimbas dan cipta rekod palsu.
- Suspek disyaki melanggar Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966; JIM meneruskan siasatan dan tindakan tegas akan diambil.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula 10 pagi itu dilaksanakan susulan perkembangan siasatan Op Crack yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Jelasnya, sindiket berkenaan dipercayai mengenakan bayaran RM700 bagi setiap pasport untuk mewujudkan rekod pergerakan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Tiga individu yang ditahan berusia antara 33 hingga 41 tahun, manakala pasukan operasi turut menyita telefon bimbit, kunci premis, barang kemas, cap keselamatan imigresen serta wang tunai RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau lagi, sindiket mengumpulkan pasport milik warga asing sebelum salinan muka hadapan dokumen itu dihantar oleh ejen menerusi aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol.
“Salinan muka hadapan pasport kemudiannya dihantar oleh ejen sindiket melalui aplikasi WhatsApp kepada individu yang bersekongkol dengan sindiket untuk diimbas bagi mewujudkan rekod pergerakan palsu dalam sistem JIM,” katanya.
Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(h) Akta Pasport 1966 dan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.
JIM akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.