Pembantu rumah dipenjara empat tahun abai kanak-kanak hingga lemas

Pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki hingga menyababkan kematian

KUALA LUMPUR, 7 Ogos Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan kematiannya di kolam renang dewasa, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembantu rumah membawa dua kanak-kanak ke kolam renang dewasa tanpa pelampung walau mengetahui mereka tidak boleh berenang.
  • Dia meninggalkan kedua-dua kanak-kanak tanpa pengawasan; seorang lemas, dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
  • Bedah siasat mengesahkan punca kematian konsisten dengan lemas; pendakwaan menuntut hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Hakim Suhaila Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap Wahyuni Tanjung, 44, dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 29 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan, Wahyuni sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tiga bulan melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kematiannya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kolam renang dewasa sebuah residensi di Sentul, di sini, antara 6 dan 7 petang pada 28 Julai lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara boleh sampai 20 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ibu mangsa meminta tertuduh yang merupakan pembantu rumahnya membawa mangsa bersama abangnya berusia lima tahun mandi di kolam renang di residensi berkenaan.

Kira-kira 7 malam, tertuduh menghubungi ibu mangsa dan memaklumkan kanak-kanak itu lemas sebelum diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh orang awam.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun disahkan meninggal dunia pada 4 pagi keesokan harinya.

Bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian adalah konsisten dengan lemas.

Hasil siasatan mendapati tertuduh yang baru sebulan bekerja didakwa membawa mangsa dan abangnya ke kolam renang dewasa tanpa sebarang alat bantuan renang atau pelampung walaupun mengetahui kedua-duanya tidak boleh berenang, selain meninggalkan kedua-dua kanak-kanak itu tanpa pengawasan apabila dia pergi ke bilik air.

Timbalan Pendakwa Raya Md Subri Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan penjaga kanak-kanak lain di luar sana.

“Tertuduh sebagai orang yang digajikan oleh majikannya untuk bekerja dan membantu menjaga kanak-kanak tidak sepatutnya meninggalkan mangsa dan abangnya yang masih kecil tanpa pengawasan sepatutnya.

“Mohon mahkamah mengambil kira keseriusan jenayah dilakukan sehingga meragut nyawa mangsa yang sepatutnya berpeluang untuk hidup lebih lama,” katanya.

Wahyuni yang tidak diwakili peguam dilihat sebak ketika ditunjukkan gambar laporan bedah siasat mangsa.

Dia tidak membuat rayuan untuk pengurangan hukuman, namun memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya telah meninggal dunia 14 tahun lepas dan dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun di Indonesia.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.