
TUMPAT, 7 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 2,000 unit peranti vape pakai buang bernilai RM160,000 yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand di bawah Jambatan Pulau Ular, malam tadi.
- Anggota rondaan melihat beberapa lelaki memunggah kotak di tebing sungai semasa Op Taring Wawasan Kelantan sekitar 8.40 malam.
- Suspek melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu, tiada tangkapan dibuat.
- Barangan disita dan dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat; kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta 852.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 8.40 malam.
Menurutnya, anggota yang melakukan rondaan melihat beberapa lelaki sedang memunggah kotak di tebing sungai.
“Anggota menghampiri kumpulan berkenaan, namun mereka bertindak melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu.
“Pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa kotak mengandungi 2,000 unit peranti vape pakai buang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat dalam operasi berkenaan.
Kesemua barangan bernilai RM160,000 itu disita dan kes dirujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).