
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memulakan siasatan terhadap individu yang dikenal pasti berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
- LHDN mengadakan serbuan premis berkaitan untuk mendapatkan maklumat, menyemak dokumen dan mengesahkan fakta siasatan.
- Semua semakan dan siasatan dijalankan secara profesional, berintegriti serta berpandukan peruntukan undang-undang percukaian.
- Tindakan lanjut hanya diputuskan berdasarkan hasil siasatan, penelitian maklumat serta bukti yang diperoleh.
- Laporan RCI JAKIM: TH sepatutnya rekod kerugian RM1.4 bilion 2017, bukan keuntungan RM3.4 bilion; RCI juga kenal pasti kelemahan tadbir urus.
LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan itu dijalankan susulan analisis risiko percukaian yang mendapati terdapat ketidakpadanan antara pemilikan aset dengan jumlah pendapatan yang dilaporkan oleh individu terbabit.
“LHDN juga telah mengadakan serbuan ke beberapa premis berkaitan bagi mendapatkan maklumat, membuat semakan dokumen serta mengesahkan fakta yang berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.
“Setiap tindakan semakan dan siasatan dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta berpaksikan peruntukan undang-undang percukaian yang berkuat kuasa tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan, penelitian maklumat serta bukti yang diperoleh sepanjang proses semakan dilaksanakan.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Antara dapatan utama suruhanjaya itu TH sepatutnya merekodkan kerugian sebanyak RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
RCI turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam aspek tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam proses pelantikan, pertindihan peranan antara Lembaga Pengarah dengan pihak pengurusan, serta kebimbangan terhadap pengaruh politik dalam pentadbiran institusi itu.