Kastam Kelantan sita 45 motosikal seludup bernilai RM3.6 juta

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Mohd Hisham Mohd Nor (kanan) melihat motosikal yang diseludup dari Thailand sebelum diedarkan kepada pelanggan bagi pasaran tempatan pada sidang media di Cawangan Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang / Foto BERNAMA

RANTAU PANJANG, 6 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menyita 45 motosikal pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari Thailand dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM3.6 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • 25 motosikal Yamaha RXZ dipercayai mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan.
  • Motosikal diseludup melalui pangkalan haram Sungai Golok, disimpan di bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak untuk diedarkan.
  • Rampasan dibuat antara Januari hingga Jun di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
  • Motosikal digunakan sebagai alat ganti atau dibaiki untuk dijual semula; kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Hisham Mohd Nor berkata, daripada jumlah tersebut, 25 motosikal adalah jenis Yamaha RXZ yang dipercayai mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan.

“Kebanyakan motosikal itu dibawa masuk berdasarkan tempahan sedia ada, manakala sebahagiannya dipercayai diseludup untuk dijadikan alat ganti,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, hari ini.

Katanya, rampasan yang dilakukan antara Januari hingga Jun lalu itu melibatkan beberapa lokasi di Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Menurut beliau, siasatan mendapati semua motosikal berkenaan diseludup masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok sebelum disimpan di beberapa lokasi termasuk bengkel, kawasan perumahan dan tempat letak motosikal untuk diedarkan kepada pembeli.

Beliau berkata, selain digunakan sebagai sumber alat ganti, harga motosikal seludup yang lebih murah turut mendorong pembeli mendapatkan kenderaan itu untuk dibaik pulih sebelum dijual semula pada harga yang jauh lebih tinggi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.