
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri pembinaan, termasuk bidang khusus seperti pemasangan perancah (‘scaffolding’).
- Peruntukan kira-kira RM8 bilion dalam Belanjawan 2027 menyokong pelaksanaan latihan TVET dan penempatan pelatih dalam industri pembinaan.
- ABM menawarkan latihan perancah: dua bulan untuk pelatih baru, 10 hari untuk pekerja berpengalaman tanpa kompetensi; fokus pada pemasangan, kestabilan, dan keselamatan.
- Latihan membuka laluan kerjaya kepada pemeriksa dan penyelia, peluang upah baik, serta potensi menjadi usahawan dan bekerja di luar negara.
- ABM bekerjasama dengan majlis agama negeri menyediakan tajaan untuk golongan asnaf; galakan kepada belia supaya merebut peluang TVET.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia (Wilayah Utara), Mohd Nazri Zakaria berkata, peruntukan TVET yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 mencerminkan kepentingan pembangunan kemahiran dalam menyediakan tenaga kerja untuk sektor berkenaan.
“Peruntukan kira-kira RM8 bilion untuk TVET menerusi Belanjawan 2027 dapat membantu kami melaksanakan latihan serta menempatkan pelatih dalam industri, khususnya sektor pembinaan,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia hari ini.
Beliau berkata, pendekatan latihan TVET perlu mengambil kira keperluan sebenar majikan supaya kemahiran yang dipelajari dapat digunakan secara langsung di tempat kerja.
Menurutnya, Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang beroperasi di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menawarkan latihan perancah selama dua bulan kepada pelatih baharu, manakala pekerja berpengalaman yang belum mempunyai kompetensi berkaitan boleh mengikuti latihan selama 10 hari.
Latihan itu merangkumi kemahiran pemasangan, kestabilan struktur serta prosedur keselamatan, memandangkan kerja perancah melibatkan risiko ketika berada di tempat tinggi.
Tambah beliau, bidang berkenaan turut menyediakan laluan perkembangan kerjaya daripada pemasang perancah kepada pemeriksa dan penyelia, selain membuka peluang kepada pekerja berpengalaman untuk menjadi usahawan.
“Selepas tamat latihan, kebanyakan pelatih ABM berpeluang mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang baik dalam tempoh singkat, selain berpotensi menjadi usahawan,” katanya lagi.
Tambahnya, permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang perancah bukan sahaja melibatkan pasaran tempatan, malah terdapat pelatih yang memperoleh peluang pekerjaan di luar negara.
Dalam usaha memperluas akses kepada latihan kemahiran, ABM turut bekerjasama dengan beberapa majlis agama Islam negeri bagi menyediakan tajaan kepada golongan asnaf untuk mengikuti latihan TVET.
Beliau berharap golongan belia merebut peluang mengikuti latihan kemahiran yang ditawarkan dan tidak memandang rendah TVET sebagai laluan membina masa depan dalam industri pembinaan.