
KUCHING, 18 Oktober – Seramai 10 tahanan imigresen atau Orang Yang Dipindahkan (OYD) dihantar pulang ke negara asal masing-masing oleh Imigresen Sarawak pada Jumaat lalu.
- Pemindahan melibatkan sembilan wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh dihantar ke Ho Chi Minh dan Dhaka melalui LTAK dan KLIA2.
- Pegawai imigresen mengurus dokumentasi, iring kawal dan logistik bagi memastikan perjalanan tahanan berjalan lancar.
- Jabatan menegaskan komitmen memastikan pemindahan dilaksanakan teratur, selamat dan terkawal mengikut prosedur serta peraturan imigresen.
Pemindahan itu membabitkan sembilan wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga Bangladesh dari Depot Imigresen Semuja.
Jabatan Imigresen Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan, kesemua mereka dihantar ke Ho Chi Minh, Vietnam dan Dhaka, Bangladesh menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
“Pemindahan itu dilaksanakan dengan penglibatan pegawai dan anggota jabatan yang menguruskan dokumentasi, iring kawal serta logistik bagi memastikan perjalanan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu semalam.
Jabatan itu turut menegaskan komitmen untuk memastikan urusan pemindahan tahanan dilaksanakan secara teratur, selamat dan terkawal mengikut prosedur serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.