Jenazah pegawai AKPS selamat dikebumikan di Pengkalan Kubor

Foto RTM

TUMPAT, 18 Oktober -Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Allahyarham Norhazwani Ibrahim yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan, Khamis lepas, selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kubor di sini pada 1.50 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jenazah disolatkan semula di rumah keluarga di Kampung Banjir Telaga Lanas sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
  • Lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, kakitangan AKPS, JKDM, PDRM dan penduduk setempat mengiringi jenazah.
  • Abang mangsa Mohd Hazwan mengucapkan terima kasih khususnya kepada JKDM dan AKPS atas bantuan sehingga urusan pengebumian selesai.
  • SAC Datuk Mohd Nasaruddin memuji dedikasi Norhazwani, menyatakan beliau rajin dan komited, serta AKPS Kelantan menyerahkan sumbangan wang tunai.

Jenazah tiba di rumah keluarganya di Kampung Banjir Telaga Lanas, Pengkalan Kubor pada 1 pagi untuk disolatkan buat kali kedua sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, kakitangan AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk setempat hadir mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS SAC Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir dan Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie.

Abang mangsa, Mohd Hazwan Ibrahim, 38, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu melancarkan urusan pengebumian adiknya, khususnya JKDM dan AKPS.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dalam memudahkan urusan pengebumian adik saya, terutamanya JKDM dan AKPS yang membantu ketika arwah masih di Hospital Seremban hingga tiba di Pengkalan Kubor.

“Saya amat berterima kasih dan berbesar hati kepada semua pihak yang memudahkan urusan pengebumian adik saya ini.”

Mohd Hazwan berkata, beliau sekeluarga berasa lega kerana segala urusan pengebumian adiknya telah selesai dan reda dengan kejadian yang menimpa Norhazwani.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga masih bersedih mengenangkan nasib kedua-dua anak allahyarham, masing-masing berusia lima dan enam tahun.

Beliau berkata, keluarga mereka belum memikirkan perancangan seterusnya, namun kedua-dua anak Allahyarham akan tinggal bersama mereka.

Sementara itu, Senior Assistant Commissioner (SAC), Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata Norhazwani baru ditukarkan daripada JKDM ke AKPS pada 1 Julai lepas dan difahamkan seorang pegawai yang rajin serta komited dalam menjalankan tugas.

“Difahamkan arwah selalu membuat kerja lebih masa. Mungkin kerana dia mempunyai dua anak dan difahamkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Dari segi pekerjaan, tiada masalah. Dia seorang pegawai yang bagus, rajin dan komited dengan kerja”, katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai daripada AKPS Kelantan kepada keluarga Allahyarham.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.