Vape, rokok seludup bernilai lebih RM12.7 juta dirampas di Selangor

Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (kanan)/ Foto BERNAMA

CHERAS, 6 Ogos – Pelbagai produk vape dan rokok seludup bernilai keseluruhan RM12.706 juta dirampas menerusi dua operasi berasingan di Selangor bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Taring Alpha 3: serbuan di Batu Caves rampas 131,036 kotak salthub, 4,900 botol cecair dan 25,510 peranti, anggaran nilai RM9.4 juta.
  • Op Taring Alpha 1: serbuan Puchong rampas 166 peti rokok (1.66 juta batang), tahan tiga lelaki, disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
  • Siasatan mendapati produk vape dirampas didakwa tidak patuh Perintah Perihal Dagangan 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Produk Merokok 2024.
  • JKDNKA tekad lumpuhkan rangkaian sindiket hingga ke dalang utama melalui risikan, siasatan dan penguatkuasaan bersepadu serta seruan maklumat awam.

Rampasan tersebut sekali gus melumpuhkan rangkaian sindiket di Batu Caves dan Puchong sebagai pusat penyimpanan serta pengedaran barangan berkenaan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejayaan itu dicapai menerusi Op Taring Alpha 1 dan 3 yang dilaksanakan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama agensi penguat kuasa lain.

Beliau berkata, menerusi Op Taring Alpha 3 pada 28 Julai lalu, sebuah premis di Batu Caves digempur kerana menjadi lokasi penyimpanan dan pembekalan produk vape sekitar Lembah Klang.

“Hasil operasi tersebut membawa kepada pemeriksaan ke atas lima individu serta rampasan besar-besaran melibatkan kira-kira 131,036 kotak produk salthub zero; 4,900 botol cecair vape dan 25,510 unit peranti rokok elektronik pelbagai jenama. Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM9.4 juta,”katanya.

Siasatan awal mendapati produk yang dirampas dipercayai tidak mematuhi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Sementara itu, menerusi Op Taring Alpha 1 pada 27 Julai lepas, polis menyerbu sebuah premis di Puchong yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan, penjualan dan pengedaran rokok tanpa lesen serta tidak bercukai.

Operasi itu membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan.

“Turut dirampas, 166 peti rokok mengandungi 1.66 juta batang rokok dengan nilai rampasan dianggarkan RM3.306 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,”ujarnya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Yusri berkata, sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini, WCB/PSK turut merekodkan pencapaian memberangsangkan menerusi operasi membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Secara keseluruhannya, dalam tempoh sama WCB/PSK merekodkan 236 kes, 411 tangkapan dan nilai rampasan mencecah RM280.4 juta menerusi pelbagai operasi membanteras penyeludupan, barangan kontraban, eksploitasi hidupan liar, pencemaran alam sekitar serta jenayah rentas sempadan,” jelasnya lagi.

“Tindakan penguatkuasaan tidak akan terhenti setakat rampasan dan tangkapan semata-mata. Fokus utama JKDNKA adalah untuk mengenal pasti, menjejaki dan melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket sehingga ke peringkat dalang utama melalui tindakan risikan, siasatan dan penguatkuasaan yang bersepadu,” katanya pada sidang media di Mes Ibu Pejabat Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini.

Beliau menegaskan PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan sama ada sebagai dalang, pembekal, penyimpan, pengangkut atau pengedar.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan, penyimpanan atau pengedaran produk yang menyalahi undang-undang bagi membantu membanteras jenayah itu secara menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.