
IPOH, 6 Ogos – Polis Perak menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan tujuh individu tempatan menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Ipoh dan Tapah, pada 4 dan 5 Ogos lalu.
- Suspek: lima lelaki dan dua wanita dewasa, dipercayai aktif mengedar sejak Jun.
- Rampasan termasuk 3.23 kg MDMA dan 37.88 g ketamin, dianggarkan bernilai RM538,451.
- Pemeriksaan di pusat hiburan menemui 20 paket ketamin dan 17 paket MDMA berbungkus bergambar kartun.
- Polis rampas tiga kenderaan (RM224,000) dan RM32,376 wang tunai; dadah dianggarkan mencukupi untuk 23,332 penagih; suspek direman.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara lingkungan dewasa yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak Jun lalu.
Katanya, operasi yang dijalankan hasil maklumat risikan itu membawa kepada rampasan lebih 3.23 kilogram MDMA dan 37.88 gram ketamin bernilai RM538,451.
Menurut beliau, dua serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Ipoh yang membawa kepada penahanan empat lelaki dan dua wanita.
“Hasil pemeriksaan, polis menemukan 20 paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis ketamin serta 17 paket plastik lutsinar bergambar kartun mengandungi serbuk disyaki dadah jenis MDMA.
“Hasil soal siasat terhadap tangkapan dalam serbuan kedua membawa kepada serbuan (ketiga) di sebuah rumah di Tapah. Pemeriksaan di premis itu menemukan 71 paket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA serta satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ketamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Datuk Mohd Alwi berkata, serbuan keempat di sebuah rumah di Bukit Pagar, Tapah membawa kepada penahanan seorang lagi suspek.
Katanya, polis turut merampas lima paket plastik lutsinar berwarna biru, merah dan putih mengandungi dadah disyaki jenis MDMA serta dua paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki ketamin.
Dalam operasi itu, polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM224,000 dan merampas wang tunai berjumlah RM32,376 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 23,332 penagih.
Kesemua suspek direman antara tiga hingga empat hari sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.