
IPOH, 6 Ogos – Polis mengesahkan kematian seorang lelaki tempatan di sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan dekat sini berpunca daripada kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.
- Lima individu ditahan; kes disiasat sebagai kes bunuh.
- Seorang penjaga didakwa mengarahkan mangsa diikat sebelum penghuni dan penjaga memukul serta memijak mangsa.
- Pusat jagaan hanya berdaftar dengan SSM sejak 2012, tidak berdaftar dengan jabatan berkaitan dan tiada CCTV.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Menurut siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada 3 Ogos apabila mangsa dikatakan bertindak agresif dan mengganggu penghuni lain di pusat jagaan berkenaan.
Beliau berkata, seorang penjaga dipercayai mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni bersama penjaga terbabit bertindak memukul dan memijak mangsa.
“Hasil siasatan, polis telah menahan lima lelaki tempatan yang terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni pusat jagaan berusia antara 35 hingga 55 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Datuk Mohd Alwi berkata, siasatan turut mendapati pusat jagaan berkenaan telah beroperasi sejak 2012 dan hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Katanya, pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang dokumen yang mengesahkan premis itu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Bandaraya Ipoh atau Kementerian Kesihatan Malaysia.
Beliau berkata, premis tersebut juga tidak dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV), sekali gus menyukarkan proses mendapatkan rakaman kejadian.
Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.