Syarikat minyak raih untung berlebihan kesan krisis Iran – Trump

Foto REUTERS

WASHINGTON, 4 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa syarikat minyak utama memperoleh keuntungan yang terlalu besar susulan kenaikan harga minyak akibat perang dengan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga petrol meningkat lebih 37% sejak konflik AS dan sekutu melancarkan operasi terhadap Iran.
  • Iran melancarkan serangan balas, menyasarkan sekutu Washington dan hampir menyekat Selat Hormuz, menyebabkan lonjakan harga tenaga.
  • ExxonMobil dan Chevron catat keuntungan suku kedua luar biasa, AS$14.5 bilion dan AS$12.1 bilion masing-masing.
  • Trump perintahkan Jabatan Kehakiman menyiasat pencatutan pada Jun lalu dan minta syarikat pulangkan sebahagian keuntungan kepada rakyat.

Dakwaan dibuat ketika beliau berusaha menangani isu yang boleh menjejaskan sokongan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

“Saya tidak suka perkara itu. Mereka memperoleh keuntungan yang terlalu besar, hasil daripada kekurangan bekalan,” katanya kepada pemberita di White House.

Kenaikan harga petrol menjadi isu politik penting bagi Trump ketika Parti Republikan bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada November, dengan Parti Demokrat berusaha merampas semula penguasaan Kongres.

Harga purata petrol biasa di AS dilaporkan meningkat lebih 37 peratus sejak perang yang dilancarkan AS bersama sekutunya, Israel terhadap Iran pada penghujung Februari lalu.

Konflik itu menyaksikan Iran melancarkan tindakan balas dengan menyasarkan sekutu Washington di rantau Teluk serta hampir menyekat Selat Hormuz, laluan perkapalan penting dunia, sekali gus menyebabkan harga tenaga melonjak.

Gergasi minyak AS, ExxonMobil dan Chevron pada Jumaat lalu melaporkan keuntungan luar biasa yang didorong oleh peningkatan harga tenaga akibat konflik di Asia Barat.

Keuntungan suku kedua ExxonMobil meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$14.5 bilion, manakala Chevron mencatat keuntungan AS$12.1 bilion, iaitu lebih lima kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beberapa syarikat minyak utama lain turut melaporkan keuntungan besar hasil kenaikan harga tenaga sepanjang konflik tersebut.

Trump, yang dikenali sebagai penyokong kuat industri bahan api fosil, sebelum ini mengarahkan Jabatan Kehakiman pada Jun lalu menyiasat dakwaan pencatutan dalam industri minyak.

Pada Isnin, beliau sekali lagi mengkritik syarikat minyak atas keuntungan yang diperoleh.

“Saya tidak gembira mengenainya. Mereka sepatutnya memulangkan sebahagian keuntungan itu kepada rakyat dan menurunkan harga runcit serta harga yang dibayar pengguna,” katanya. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.